A- A A+
INGIN MEMBERI MAKLUMBALAS KEPADA KAMI? KLIK DISINI

Masalah Buku Manaqib Kiyai Agung Al Syeikh Al Syed Muhamad Bin Abdullah Al Suhaimi.

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

MASALAH BUKU MANAQIB KIYAI AGUNG AL SYEIKH AL SYED MUHAMAD  BIN ABDULLAH AL SUHAIMI.

 

Kategori   : Akidah

 

 

Keputusan:

 

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 17 Julai 1994 telah membincangkan mengenai Masalah Buku Manaqib Kiyai Agung Al Syeikh Al Syed Muhamad  Bin Abdullah Al Suhaimi dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

 

((Bahawa buku Manaqib Kiyai Agung Al Syeikh Al Syed Muhamad bin Abdullah Al Suhaimi terjemahan dari bahasa Jawa ke dalam bahasa  Melayu oleh Ramli bin Ilyas dan ditokok tambah oleh Al Ustaz Muhamad Toha Suhaimi yang ditulis oleh Kamarulzaman Muhamad Zahab yang menjadi pegangan Jemaah Darul Al Arqam  tidak boleh diterima))

 

Mesyuarat juga telah membincangkan tentang perkembangan Jemaah Darul Al-Arqam serta kaitannya dengan amalan ( Aurad Muhammadiyah ) yang telah difatwakan oleh Jemaah Ulamak Majlis Agama Islam Kelantan, pegangan terhadap buku Manaqib Kiyai Agung ( terjemahan melayu ) yang tersebut di atas dan suasana perubahan terakhir yang berlaku ke atas diri pemimpin Darul Al-Arqam atau Al-Arqam dengan mengaku dirinya daripada keturunan Bani Tamim sebagai usaha memperwatakkan dirinya kepada tokoh yang digambarkan dalam hadis Rasulullah (saw) mengenai peristiwa kemunculan Imam Mahdi Al-Muntazir, dengan ini mesyuarat dengan sebulat suara bersetuju menerima pakai sebagai fatwa keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia pada 7 haribulan Jun 1994 berbunyi:

 

1)   Bahawa-

 

(i)           Buku yang bertajuk (( Aurad Muhammadiyah pegangan Darul Al-Arqam sekaligus menjawab tuduhan)) yang ditulis oleh Ustaz Haji Asya’ari Muhammad dan isi kandungannya.

 

(ii)         (( Manaqib (riwayat hidup) Syeikh Muhammad bin Abdullah

Al-Suhaimi )) yang ditulis oleh Muhammad Toha Al-Suhaimi dan juga yang ditulis oleh pihak-pihak lain dalam semua bahasa dan isi kandungannya, adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan Syariah Islamiyyah serta mengelirukan dan boleh menyesatkan masyarakat Islam. Oleh itu adalah diharamkan.

 

2)   Bahawa kumpulan Darul Arqam atau Al-Arqam yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman yang terkandung di dalam buku bertajuk “Aurad Muhammadiyah” pegangan Darul Arqam sekaligus menjawab tuduhan dan kitab Manaqib (Riwayat Hidup) Syeikh Muhammad bin Abdullah Al-Suhaimi adalah diharamkan.

 

     3)      Bahawa pengharaman ini meliputi:

 

(i)           Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran-ajaran tersebut (1) di atas, dan termasuklah apa-apa pegangan ideologi, falsafah atau apa-apa kumpulan atau sistem amalan dan penunaian yang merangkumi bahawa tujuannya atau salah satu daripada tujuan-tujuannya ialah pencapaian pengajaran kebatinan, perlindungan kebatinan atau kewujudan kebatinan, iaitu suatu pegangan, ideologi, falsafah atau jemaah atau sistem amalan atau penunaian yang tidak diakui dan bertentangan dengan syariat Islam dan pegangan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah.

 

(ii)         Apa-apa jua bahan publisiti kumpulan Darul Al-Arqam termasuk mana-mana terbitan, ertinya apa-apa bahan, termasuklah suatu gambar, gambar foto, poster, rajah, surat edaran, gelensar filem,  iklan di akhbar, dan apa-apa bentuk iklan yang lain, yang bertujuan untuk memberi publisiti kepada terbitan tersebut yang berkaitan dengan ajaran-ajaran atau pegangan-pegangan di (1) di atas:

 

(iii)        Apa-apa terbitan, ertinya apa-apa buku, majalah, pamplet, risalah atau apa-apa bahan bacaan lain, sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dengan apa-apa cara lain dan apa-apa bentuk keluaran ulangannya, dan termasuklah apa-apa filem iaitu sebuah wayang gambar, sebuah pita rakam, atau sebuah rekod walau bagaimanapun ianya dibuat dari suatu imej berdasarkan penglihatan, yang mana adalah sebuah rekod yang mampu digunakan sebagai suatu alat menayangkan rangkaian itu sebagai suatu gambar bergerak: rakaman audio iaitu apa-apa bahan termasuk piring hitam, fotografi, pita rakaman dan cakera laser dan cakera padat, yang mana dirakamkan rakaman suara manusia, untuk dibaca, dilihat atau didengar yang berkaitan dengan ajaran-ajaran atau pegangan-pegangan di (1) di atas: oleh itu, orang Islam adalah dilarang mengamal ajaran, pegangan dan fahaman kumpulan Darul Arqam atau Al-Arqam, menjadi ahli, mengetuai, memimpin, memberi ceramah, mengadakan kelas pendidikan dan pembelajaran, mengadakan aktiviti-aktiviti ekonomi, sosial, program persembahan kesenian dan kebudayaan dan lain-lain aktiviti-aktiviti yang bertujuan untuk menghidupkan dan mengembangkan kumpulan ini.

 

Orang-orang Islam adalah juga dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual, termasuk mengedarkan filem, rakaman audio, pamplet, buku-buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah dan apa-apa dokumen, menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan kumpulan Darul Arqam atau Al-Arqam kepada mana-mana harta alih atau tak alih, dan semua pihak dilarang daripada memberi kemudahan dan membantunya.

 

Huraian:

 

Mesyuarat telah membincang buku Manaqib Kiyai Agung Al Syeikh Al Syed Muhamad bin Abdullah Al-Suhaimi terjemahan daripada bahasa Jawa ke dalam bahasa Melayu oleh Ramli bin Ilyas, kemudian diperbaiki dan ditambah beberapa hal oleh Ustaz Mohamad Toha Suhaimi dan ditulis oleh Kamarulzaman Mohamad Zahab yang menjadi pegangan Jemaah Darul Al Arqam. Antara maksud isi kandungan buku tersebut adalah sebagaimana berikut:

 

(1)   Bahawa Muhamad bin Abdullah Al-Suhaimi tidak mati tetapi pergi ke alam ghaib dan akan kembali semula ke alam zahir untuk tujuan tertentu dengan menjelma ke dalam diri orang-orang tertentu ( halaman 49).

 

(2)   Untuk mengelakkan fitnah di kalangan orang awam dan timbul kesulitan pihak berkuasa, Muhamad bin Abdullah Al-Suhaimi meninggalkan suatu benda yang nampak seolah-olah seperti jasadnya dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kelang sebagai mengganti dirinya yang sebenar (halaman 50).

 

(3)   Bahawa seorang yang bergelar Ratu Adil diramalkan akan muncul di Jawa bagi memulihkan keamanan di negara tersebut yang dilanda huru-hara dan kacau-bilau akibat kejatuhan seorang pemerintah yang sakti setelah memerintah lebih kurang 20 tahun. Peristiwa kemunculan ratu adil itu ialah sekitar tahun 1970-an. Individu yang dimaksudkan dengan Ratu Adil itu ialah Imam Al Mahdi iaitu Muhamad bin Abdullah Al-Suhaimi yang dikatakan ghaib itu dan pemerintah sakti yang dimaksudkan itu ialah Presiden Suharto (halaman 51 - 54). Kini tarikh yang diramalkan itu telah lama berlalu tanpa kemunculan Ratu Adil (Imam Mahdi) dan tempoh pemerintahan Presiden Suharto sudah pun melebihi 20 tahun.

PENSIJILAN

PENSIJILAN
mpc2.jpg

Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

Paparan terbaik dengan resolusi 1280 x 800

Hakcipta © 2010 - 2021 Pejabat Mufti Negeri Kelantan
Paparan terbaik dengan IE 7.0, Google Chrome 10.0, Safari 4.0, Opera 10.0 atau Mozilla Firefox 3.0 dengan resolusi 1280 x 800
Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Kompleks Islam Darulnaim, Jalan Sultan Yahya Petra, 15200 Kota Bharu Kelantan. Tel : 09 7482023 Faks : 09 7478170 Email : jabmufti@kelantan.gov.my
Kemaskini Terakhir :

Search