A- A A+
INGIN MEMBERI MAKLUMBALAS KEPADA KAMI? KLIK DISINI

Hukum Pembinaan Kubur Bertingkat Menurut Islam

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

FATWA TAHUN 2011

 

HUKUM PEMBINAAN KUBUR BERTINGKAT MENURUT ISLAM

(Kategori :Sosial /Syariah)

(Kertas Mesyuarat Jemaah Ulama’ Bil: 4/1/2011).

Tarikh : 24 Februari 2011/21 Rabiulawal 1432H

 

 

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan yang bersidang  pada 24 Februari 2011 bersamaan 21 Rabiulawal 1432H telah membincangkan isu mengenai Hukum Pembinaan Kubur Bertingkat Menurut Islam dan telah bersetuju mengeluarkan pandangan seperti berikut:    

Huraian :

1.         Perbincangan mengenai perkara ini dimulai dengan pembentangan kertas kerja oleh Setiausaha. Mesyuarat dimaklumkan bahawa Hukum Pembinaan Kubur Bertingkat telah dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-61 pada 27 Januari 2004.

2.         Walaupun keperluan untuk membina kubur bertingkat di negeri Kelantan secara amnya masih belum ditahap yang mendesak buat masa sekarang, satu keputusan mengenai hukum pembinaan kubur bertingkat ini perlu dibuat supaya persoalan hukum mengenai perkara ini sudah terjawab apabila keperluan untuk mengadakan kubur bertingkat di negeri Kelantan dibangkitkan pada masa akan datang.

Keputusan :

 

1.      Setelah membincangkan isu ini mesyuarat bersetuju mengeluarkan pandangan berikut:

 

1.         Tanah perkuburan mestilah dihormati dan adab-adab yang berkaitan dengannya hendaklah dipatuhi.

2.         Adalah harus menggali semula tanah perkuburan sekiranya terdapat keperluan yang mendesak atau darurat dengan sebab-sebab yang tertentu yang diharuskan oleh syarak. Hal ini merujuk kepada keadaan mayat yang belum reput.

3.         Adalah harus menggali semula tanah perkuburan setelah dikenalpasti mayat itu telah reput oleh pihak berkuasa untuk digunakan bagi tujuan yang munasabah seperti digunakan bagi mengebumikan mayat yang baru.

4.         Oleh itu, hukum pembinaan kubur bertingkat adalah harus apabila keperluan untuk mengadakan kubur bertingkat telah sampai di tahap yang mendesak atau darurat.

2.         Pandangan ini dibuat berdasarkan bahawa dalam Islam tanah perkuburan adalah tempat yang perlu dihormati, umat Islam ditegah dari melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan adab dan dianggap tidak menghormati mayat di tanah perkuburan itu seperti mendirikan penempatan kekal di atasnya, membina binaan kekal bagi tanah perkuburan berstatus wakaf am, menggali balik mayat tanpa tujuan dan sebagainya berdalilkan hadis:

 

   ( ا )نهى النبي صلى الله عليه وسلم أن يجصص القبر وأن يقعد عليه

 وأن يبني عليه وأن يكتب عليه (رواه الترمذي) 

 

Maksudnya: Nabi saw melarang dari membina tembok atas kubur, tinggal di atasnya, membuat binaan dan menulis di atasnya.

 

(ب) كسر عظم الميت ككسره حيا        (رواه ابو دأود) 

 

Maksudnya: Mematah tulang orang yang telah mati seperti mematahkan tulangnya semasa hidup.

2.      Jumhur ulama’ termasuk Imam Mazhab Empat membenarkan kubur digali semula sekiranya terdapat sebab-sebab yang munasabah dan dalam keadaan mendesak atau darurat berdalilkan hadis dari Jabir R.A:

 

( ا )      أتى رسول الله صلى الله عليه وسلم عبدالله بن أبى بعد ما أدخل حفرته،

فأمر به فأخرج، فوضع على ركبتيه، ونفث عليه من ريقهوالبسه قميصه

(متفق عليه)

Maksudnya: Rasulullah saw mendatangi kubur Abdullahbin Ubai yang telah dimasukkan ke dalam liang lahad, baginda s.a.w memerintahkan untuk mengeluarkannya kembali dan diletakkan di atas kedua-dua lutut baginda s.a.w, kemudian baginda s.a.w meniupkan liurnya dan mengenakan pakaian baginda s.a.w kepadanya.

4.         Imam An-Nawawi di dalam kitab al Majmu’ menyebut: Boleh menggali kubur jika keadaan mayat sudah lusuh dan sudah menjadi debu, maka bolehlah mengebumi jenazah lain di dalamnya.

            Beliau turut menyebut: “ Dan dibolehkan juga (tanah itu) digunakan untuk bercucuk tanam, melakukan binaan dan perkara lain yang bermanfaat, pendapat ini dipersetujui oleh para ulama’ mazhab Syafi’e. Ia diharuskan apabila tiada lagi kesan mayat seperti tulang dan anggota lain di kubur tersebut.

PENSIJILAN

PENSIJILAN
mpc2.jpg

Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

Paparan terbaik dengan resolusi 1280 x 800

Hakcipta © 2010 - 2021 Pejabat Mufti Negeri Kelantan
Paparan terbaik dengan IE 7.0, Google Chrome 10.0, Safari 4.0, Opera 10.0 atau Mozilla Firefox 3.0 dengan resolusi 1280 x 800
Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Kompleks Islam Darulnaim, Jalan Sultan Yahya Petra, 15200 Kota Bharu Kelantan. Tel : 09 7482023 Faks : 09 7478170 Email : jabmufti@kelantan.gov.my
Kemaskini Terakhir :

Search