A- A A+
INGIN MEMBERI MAKLUMBALAS KEPADA KAMI? KLIK DISINI

Mengadakan Sembahyang Jumaat Di Masjid Muhammad Faiz Petra, Gua Musang

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

MENGADAKAN SEMBAHYANG JUMAAT DI MASJID MUHAMMAD FAIZ PETRA, GUA MUSANG.

 

Kategori   : Sosial/syariah

 

 

Keputusan:

 

Mesyuarat Khas Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 26 September 1996 telah membincangkan mengenai Mengadakan Sembahyang Jumaat Di Masjid Muhammad Faiz Petra, Gua Musang dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

 

               

( ا )         Bahawa permohonan untuk mendirikan sembahyang Jumaat di Masjid Muhammad Faiz Petra, Bandar Gua Musang diluluskan dengan syarat terlebih dahulu hendaklah diwujudkan penempatan baru berhampiran masjid tersebut untuk didiami secara tetap (mastautin) oleh sekurang-kurangnya dua belas orang yang cukup syarat wajib Jumaat.

 

Keputusan ini berdasarkan Nas yang dipetik dari kitab I’anah Al-Solihin (اعانة الصالحين) juzu’ kedua halaman 95 berbunyi :

 

 

 

 

 

 

ثاني القولين إثنا عشر وهل يجوز تقليد أحدهذين القولين الجواب نعم فأنه قول للامام نصره بعض اصحابه ورجحه وقولهم القديم لا يعمل به محله مالم يعضده الأصحاب ويرجحوه والاصار راجحا من هذه الحيثية  وان كان مرجوحا من حيث نسبته للامام وقال السيوطي كثيرا ما يقول أصحابنا بتقليد ابي حنيفة في هذه المسئلة وهو اختيارى اذ هو قول للشافعى قام الدليل على رجحانه اﻫ.  وحينئذ تقليد أحد هذين القولين أولى من تقليد أبى حنيفة فتنبه وقد ألفت رسالة تتعلق بجواز العمل بالقول القديم للامام الشافعى رضى الله عنه فى صحة الجمعة بأربعة وبغير ذلك فانظرها ان شئت.

 

( ب )       Sidang bersetuju supaya urusan sembahyang Jumaat Masjid Al-Ghazali, Bandar Gua Musang diteruskan sebagaimana biasa dengan Masjid Muhammad Faiz Petra dijadikan sebagai  masjid kepala jajahan.

 

 

Huraian:

 

Dato’ Pengerusi memberi penjelasan kepada sidang mengenai beberapa hal berhubung dengan masjid tersebut, termasuk latar belakang serta kedudukan masjid, kawasan penempatan penduduk yang bermastautin dan bermukim, suasana persekitaran serta perkembangan yang wujud di Bandar Gua Musang sekarang. Rumusan penjelasan adalah sebagaimana berikut :

 

( ا )         Masjid ini didirikan di kawasan pusat pentadbiran Bandar Gua Musang beberapa tahun yang lalu oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) di bawah pembangunan Bandar baru Gua Musang.  Meskipun ianya didirikan dengan tujuan untuk kemudahan sembahyang Jumaat, namun tujuan tersebut tertangguh sehingga sekarang kerana di sekitarnya yang berhampiran tiada penduduk tetap (mastautin) yang menjadi syarat sah mendirikan sembahyang Jumaat di masjid tersebut.

 

( ب )       Sejak kebelakangan ini terdapat kalangan tertentu, termasuk sebilangan penduduk Bandar Gua Musang sendiri meminta supaya usaha-usaha perlu dilakukan bagi membolehkan masjid tersebut didirikan sembahyang Jumaat atas beberapa sebab.  Antaranya ialah Masjid Al-Ghazali, Bandar Gua Musang yang digunakan untuk sembahyang Jumaat sekarang tidak mampu lagi menampung ahli Jumaat yang begitu ramai dan ianya tidak dapat diperbesarkan lagi kerana tiada kawasan. Penduduk- penduduk tetap di Taman Wangi dan sekitarnya mengalami kesulitan untuk menunaikan sembahyang Jumaat kerana kedudukan kawasan kediaman mereka dengan masjid Jumaat (Al-Ghazali) adalah jauh ( lebih kurang 5 kilometer) berbanding dengan Masjid Muhammad Faiz Petra (lebih kurang 2 kilometer sahaja)

 

( ج )       Pihak Pejabat Jajahan Gua Musang sedang berusaha untuk membina sekurang-kurangnya dua belas rumah kediaman berhampiran Masjid Muhammad Faiz Petra bagi menempatkan sekurang-kurangnya dua belas penghuni tetap (mastautin) yang cukup syarat wajib Jumaat.  Ini adalah sebagai memenuhi syarat sah Jumaat di masjid berkenaan menurut qaul qadim dalam Mazhab Syafie.

 

PENSIJILAN

PENSIJILAN
mpc2.jpg

Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

Paparan terbaik dengan resolusi 1280 x 800

Hakcipta © 2010 - 2021 Pejabat Mufti Negeri Kelantan
Paparan terbaik dengan IE 7.0, Google Chrome 10.0, Safari 4.0, Opera 10.0 atau Mozilla Firefox 3.0 dengan resolusi 1280 x 800
Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Kompleks Islam Darulnaim, Jalan Sultan Yahya Petra, 15200 Kota Bharu Kelantan. Tel : 09 7482023 Faks : 09 7478170 Email : jabmufti@kelantan.gov.my
Kemaskini Terakhir :

Search