A- A A+
INGIN MEMBERI MAKLUMBALAS KEPADA KAMI? KLIK DISINI

Perbincangan Mengenai Cadangan Penukaran Tanah -Tanah Wakaf Di Bawah Kawalan Majlis Agama Islam Kelantan Dengan Tanah Lain Yang Dipohon Daripada Kerajaan Negeri – Di Bawah Konsep Istibdal

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

PERBINCANGAN MENGENAI CADANGAN PENUKARAN TANAH -TANAH WAKAF DI BAWAH   KAWALAN MAJLIS AGAMA ISLAM KELANTAN DENGAN TANAH LAIN YANG DIPOHON DARIPADA KERAJAAN NEGERI – DI BAWAH KONSEP ISTIBDAL

 

Kategori   : Sosial/syariah

 

 

Keputusan:

 

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 24 Mac 1996 telah membincangkan mengenai Cadangan Penukaran Tanah -Tanah Wakaf Di bawah  Kawalan Majlis Agama Islam Kelantan Dengan Tanah Lain Yang Dipohon Daripada Kerajaan Negeri – Di bawah Konsep Istibdal dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

 

Mesyuarat menyambut baik usaha pihak Majlis memohon kawasan tanah seluas 500 ekar untuk kegiatan ekonomi sebagaimana yang dirancang dan ia merupakan satu langkah ke arah mengukuh serta mengembangkan lagi punca-punca pendapatan Majlis untuk masa yang akan datang. Berhubung dengan masalah cadangan istibdal tanah-tanah wakaf itu, mesyuarat merumuskan bahawa: Konsep istibdal tanah-tanah wakaf telah pun diputuskan dalam fatwa yang lepas dan perkara tersebut adalah jelas. Walau bagaimanapun mesyuarat bersetuju membuat keputusan supaya satu kajian yang lebih terperinci dan mantap mengenai kes ini perlu dibuat dengan seberapa segera untuk dibincang dalam mesyuarat yang akan datang. Itu adalah mustahak memandangkan ianya menjadi suatu beban tanggungjawab yang berat ke atas pihak yang menanggung amanah harta tersebut baik dalam keadaan mana sekalipun.

 

Huraian:

 

Mesyuarat membincang satu cadangan yang dibuat oleh pihak Pengurusan Majlis untuk membuat pertukaran tanah-tanah wakaf samada wakaf am atau wakaf khas dengan suatu kawasan tanah baru seluas kira-kira 500 ekar yang telah pun dipohon oleh Majlis kepada kerajaan negeri. Tanah tersebut terletak dalam Jajahan Jeli.

 

Dato’ Timbalan Yang Dipertua telah memberi taklimat kepada sidang berhubung cadangan istibdal tanah-tanah wakaf di bawah kawalan Majlis serta gambaran rancangan-rancangan yang akan dilaksanakan di atas tanah wakaf dan juga di atas tanah yang dicadangkan pertukaran dengan tanah wakaf tersebut. Secara umumnya ia dapat dirumuskan sebagaimana berikut:

 

(1)            Keseluruhan tanah-tanah wakaf (wakaf am dan wakaf khas )yang di bawah kawalan Majlis Agama Islam Kelantan adalah seluas lebih kurang 312 ekar 208 depa yang terletak di Jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.

 

(2)            Keluasan tanah-tanah wakaf yang ada itu tidak seimbang dan ada yang terlalu sempit sehingga sukar hendak dimajukan untuk menghasilkan pendapatan darinya.

 

(3)             Pendapatan dari keseluruhan tanah-tanah wakaf yang ada sekarang didapati tidak seimbang dengan keluasan tanah wakaf itu sendiri dan dalam keadaan (status) yang ada sekarang ianya sukar untuk dimajukan dalam bentuk komersial bagi menambahkan pendapatan kerana masalah undang-undang dan sebagainya. Terdapat setengah-setengah tanah wakaf yang ada itu tidak lagi mengeluarkan sebarang pendapatan kerana ketiadaan punca hasil.

 

(3)             Tanah seluas kira-kira 500 ekar yang akan dijadikan tukaran dengan tanah-tanah wakaf itu adalah merupakan tanah pertanian yang akan dimajukan sepenuhnya oleh Majlis, di mana pendapatan dari tanah tersebut akan dijadikan hasil wakaf untuk dibelanjakan bagi maksud wakaf itu sendiri, samada wakaf am atau wakaf khas/wakaf keluarga. Penentuan saiz tanah yang dijadikan tukaran itu dengan tanah – tanah wakaf yang saiznya berbeza antara satu dengan yang lain itu akan ditentukan dalam bentuk kadar nisbah saham perladangan.

 

(4)             Tanah-tanah wakaf yang terbabit dengan istibdal ini akan dipinda menjadi tanah biasa milik Majlis bagi membolehkan pihak Majlis Agama Islam Kelantan menjalankan projek-projek ekonomi menerusi usahasama dan sebagainya.

 

Mesyuarat membincang masalah tersebut dengan mengambil kira segenap aspek termasuk persoalan yang perlu dipecahkan bagi memungkinkan tanah wakaf tersebut dibuat istibdal, antaranya:

 

(1)             Apakah tanah yang akan dijadikan tukaran itu sama atau lebih tinggi nilai harganya jika dibandingkan dengan nilai harga-harga tanah wakaf tersebut.

 

(2)             Sejauh mana jaminan jangka pendek dan jangka panjang dapat dipastikan supaya amanah yang wujud pada harta wakaf tersebut tidak terjejas, bahkan akan bertambah baik lagi, baik dari segi harta modal wakaf itu sendiri maupun manfaatnya setelah ianya diistibdalkan nanti.

 

(3)         Apakah cadangan istibdal tanah-tanah wakaf tersebut benar- benar berada pada tahap yang diharuskan oleh syarak iaitu (dharurat) sehingga tiada lagi jalan lain selain dari melakukan istibdal.

PENSIJILAN

PENSIJILAN
mpc2.jpg

Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

Paparan terbaik dengan resolusi 1280 x 800

Hakcipta © 2010 - 2021 Pejabat Mufti Negeri Kelantan
Paparan terbaik dengan IE 7.0, Google Chrome 10.0, Safari 4.0, Opera 10.0 atau Mozilla Firefox 3.0 dengan resolusi 1280 x 800
Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Kompleks Islam Darulnaim, Jalan Sultan Yahya Petra, 15200 Kota Bharu Kelantan. Tel : 09 7482023 Faks : 09 7478170 Email : jabmufti@kelantan.gov.my
Kemaskini Terakhir :

Search