A- A A+
INGIN MEMBERI MAKLUMBALAS KEPADA KAMI? KLIK DISINI

Cadangan Memajukan Tanah Wakaf Di Bawah Kawalan Majlis Agama Islam Kelantan

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

CADANGAN MEMAJUKAN TANAH WAKAF DI BAWAH KAWALAN MAJLIS AGAMA ISLAM KELANTAN

 

Kategori   : Sosial/syariah

 

 

Keputusan:

 

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 05 Ogos 1995 telah membincangkan mengenai Cadangan Memajukan Tanah Wakaf Di bawah Kawalan Majlis Agama Islam Kelantan dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

 

(1) Bahawa hukum mengenai harta wakaf, samada wakaf am atau wakaf khas menurut Mazhab Syafie, Maliki dan kebanyakan UlamakMutaqaddimin dan Muta’akhirin, tidak harus dijual atau ditukar ganti atau ibdal. Hukum tersebut berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW berbunyi:

 

إن شئت حبست أصلها وتصدقت بها غير أنه لا يباع أصلها ولا يبتاع ولا يوهب ولايورث

 

Maksudnya: Jika mahu, kamu boleh mewakafkan harta modalnya itu atau mensedekahkannya,tetapi tidak boleh dijual, dibeli, diberi percuma dan dipusakai harta tersebut.

                                                            

Kecuali atas sebab-sebab dharurat atau maslahat  am bagi memelihara maksud dan tujuan wakaf itu sendiri supaya jangan sampai dipersia-siakan. Keputusan ini berdasarkan kepada pendapat yang dikemukakan oleh Ibnu Taimiyyah dalam kitab Majmu’ Fatawa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah jilid 31 berbunyi:

 

 

فأجاب :وأما إبدال المنذور والموقوف بخير منه كما في ابدال الهدي : فهذا نوعان:

 

أحدهما: أن الابدال للحاجة مثل أن يتعطل فيباع ويشترى بثمنه ما يقوم مقامه : كالفرس الحبيس للغزو اذا لم يمكن الانتفاع به للغزو فانه يباع ويشترى بثمنه مقامه، والمسجد اذا خرب ما حوله فتنقل آلته الى مكان آخر أو يباع ويشترى بثمنه  مايقوم مقامه : أو لا يمكن الانتفاع بالموقوف عليه من مقصود الواقف فيباع ويشترىبثمنه ما يقوم مقامه. واذا خرب ولم تمكن عمارته فتباع العرصة، ويشترى بثمنها مايقوم مقامها: فهذا كله جائز؛ فان الأصل إذا لم يحصل به المقصود قام بدله مقامه.

 

والثاني: الابدال لمصلحة راجحة : مثل ان يبدل الهدى بخير منه، ومثل المسجدإذا بنى بدله مسجد آخر أصلح لأهل البلد منه، وبيع الأول: فهذا ونحوه جائز عند احمد وغيره من العلماء.  واحتج أحمد بأن عمر بن الخطاب -  رضى عنه - نقل مسجد الكوفة القديم الى مكان أخر؛ وصار الأول سوقا للتمارين فهذا ابدال لعرصة المسجد.

 

Maksudnya:

 

Maka jawab (Syeikhul Islam): Adapun membuat pertukaran ke atas harta –harta nazar dan harta wakaf dengan yang lebih baik darinya seperti mana membuat pertukaran ke atas hadiah, maka ianya mengandungi dua kategori:

 

Pertama: Pertukaran itu dibuat kerana keperluan yang mendesak contohnya kerana rosak, lalu barang tersebut bolehlah dijual dan dengan harganya itu hendaklah dibeli yang lain sebagai ganti wakaf, umpamanya kuda yang diwakaf untuk peperangan apabila didapati tidak lagi berfungsi untuk tujuan peperangan, maka dalam keadaan itu ia boleh dijual dan membeli yang lain sebagai ganti wakaf dengan hasil jualannya itu. Begitu juga mana-mana bahagian masjid yang rosak boleh dipindah bahan tersebut ke tempat lain atau dijual dan dibeli ganti dengan wang tersebut, juga mana-mana harta wakaf yang tidak lagi mendatangkan manfaat kepada penerima wakaf sebagaimana  kehendak pewakaf (wakif) itu sendiri, maka ketika itu ia harus dijual dan dibeli yang lain sebagai ganti wakaf. Apabila satu- satu masjid itu rosak dan tidak boleh lagi diimarahkannya maka halamannya (tapak) bolehlah dijual dan dengan harga jualan itu dibeli ganti sebagai wakaf. Semuanya itu adalah harus kerana menurut kaedah, apabila sesuatu itu tidak lagi berfungsi maka ianya perlu diganti dengan yang lain pula.

Kedua: Pertukaran atas sebab-sebab maslahat yang jelas: umpamanya menukar hadiah dengan yang lebih baik darinya, bangunan masjid lama diganti dengan bangunan lain yang lebih mendatangkan kebaikan kepada penduduk dan yang lama itu boleh dijual. Semuanya itu adalah harus menurut pendapat Imam Ahmad dan ulama’ lain. Beliau berhujah bahawa Umar Bin Al-Khatab Radhiallahuanhu pernah memindahkan masjid lama Kufah ke tempat lain lalu dijadikan Pasar Lambak. Ini merupakan pertukaran ke atas tapak masjid.Bagi  menentukan dharurat atau maslahat am, hendaklah dirujukkan kepada mahkamah syar’iyyah untuk membuat keputusan  mengenainya. Ini berdasarkan kepada beberapa ibarat yang terdapat dalam kitab-kitab feqah yang masyhur. Antaranya kitab الفقه الاسلاموادلته oleh Doktor Wahbah Az- Zuhaili  juzuk 8 halaman 221 berbunyi:

 

 

شروط الاستبدال: إذا كان الوقف عقارا غير مسجد، فالمعتمد أنه يجوز للقاضي الاستبدال به للضرورة بلا شرط الواقف، بشروط ستة (عند احناف) :

 

1.                  أن يخرج الموقوف عن الانتفاع به بالكلية

- أي يصبح عديم المنفعة.

 

2.                  ألا يكون هناك ريع للوقف يعمر به.

 

3.                  ألا يكون البيع بغبن فاحش.

 

4.                  أن يكون المستبدل قاضي الجنة. وهو ذوالعلم والعمل، لئلا يؤدي الاستبدال إلي إبطال أو قاف المسلمين، كما هو الغالب في الزمن الأخير.

 

5.                  أن يستبدل به عقار لا دراهم ودنانير، لئلا يأكلها النظار، ولأنه قل أن يشتري بها الناظر بدلا، وأجاز بعضهم الاستبدال به نقودا، ما دام المستبدل قاضي الجنة.

 

6.                  ألا يبيعه القاضي لمن لا تقبل شهادته له، ولا لمن له عليه دين، خشية التهمة والمحاباة.

 

Maksudnya:

 

Syarat-syarat istibdal: Apabila harta wakaf ini berupa harta tak alih selain dari masjid maka menurut qaul yang muktamad kadi harus melakukan istibdal semata-mata kerana dharurat (walaupun tiada syarat dari pewakaf), tetapi bergantung kepada enam syarat berikut (menurut pendapat Hanafi):

 

(1)   Jika harta wakaf itu luput seluruh manfaatnya, yakni tiada langsung manfaatnya.

 

(2)   Harta wakaf itu tidak lagi mempunyai hasil untuk memaju atau membangunkannya.

 

(3)   Bahawa penukaran terhadap harta wakaf itu bukan dibuat secara penipuan.

 

(4) Istibdal ke atas harta wakaf itu hendaklah dilakukan oleh kadi الجنة : iaitu orang yang mempunyai ilmu serta beramal dengannya supaya istibdal yang dibolehkan itu tidak menyebabkan hilang harta-harta wakaf orang Islam, sebagaimana pernah terjadi di masa muta’akhir ini.

 

(5) Istibdal hanya diharuskan ke atas harta tak alih sahaja,bukan dirham atau dinar agar ianya tidak disalahgunakan oleh nazir kerana nazir jarang membeli ganti barangan tersebut. Setengah pendapat yang lain mengharuskan wang dibuat istibdal jika ianya dilakukan oleh kadi الجنة  .

 

(6)   Bahawa pertukaran harta wakaf itu hendaklah tidak dilakukan oleh kadi terhadap mereka yang taraf kesaksiannya tidak diakui, juga orang yang mempunyai hutang kerana dikhuatiri timbul tuduhan dan perasaan cenderung hanya terhadapnya.

 

Demikian juga terdapat dalam kitab Ahkamul Usrah Fil Islam oleh Doktor Mohammad Salam Madkur juzu’5, halaman 348, berbunyi:

 

 

(( وكذلك فأن القانون وافق الفقه المعمول به في جعل الاستبدال من حق القاضي.  المحكمة المختصة.  لما له من الولاية العامة طبعا للمادة 13- فيما عدا حق الواقف الذى شرطه لنفسه يكون الاستبدال في حق الواقف من اختصاص المحكمه الشرعية, ولها ذلك متى رأت المصلحة فيه))

Maksudnya:

 

Demikian halnya undang-undang (Negara) yang sedang berkuatkuasa sama dengan hukum feqah dalam meletakkan istibdal pada kuasa kadi-Mahkamah Tinggi-kerana ianya mempunyai kuasa yang lebih tinggi menurut kehendak seksyen 13 yang berbunyi: Kecuali kuasa yang terhak bagi pewakaf yang menentukan syarat sedemikian itu, maka istibdal adalah menjadi hak bagi pewakaf dengan ketetapan mahkamah syar’iyyah, apabila didapati ada maslahat untuk berbuat demikian.

 

 

(2) Tanah-tanah wakaf yang di bawah kawalan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan boleh dimajukan termasuk membuat sandaran kepada mana-mana institusi kewangan yang amalannya tidak bercanggah dengan hukum syarak, dengan syarat usaha tersebut tidak menghilangkan asal wakaf itu. Kegiatan memajukan tanah wakaf  tersebut diharuskan dengan syarat:

 

(1)    Urusan yang dijalankan untuk memajukan itu tidak berlawanan dengan kehendak hukum syarak, termasuk sumber kewangan dan sebagainya.

 

(2)    Pendapatan yang diperolehi dari hasil pembangunan  tanah –tanah tersebut hendaklah dipastikan benar-benar dimanfaatkan dan menepati sewajarnya bagi memenuhi kehendak asal wakaf tersebut.

 

(3)    Persetujuan hendaklah diperolehi daripada mauquf alaih sebelum memajukan tanah-tanah wakaf yang termasuk di bawah kategori wakaf khas.

 

Mesyuarat bersetuju dalam beberapa hal yang boleh memberi manfaat dan maslahat am, maka pendapat –pendapat yang dikemukakan oleh Ibnu Taimiyyah boleh diterima pakai dalam membuat rumusan fatwa .

Menyentuh tentang berbagai masalah yang dihadapi menangani tanah-tanah wakaf yang di bawah kawalan Majlis, mesyuarat bersetuju memberi pandangan supaya sewaan keatas harta-harta wakaf hendaklah berpatutan dengan nilai semasa  ( أجرة المثل )dan tindakan yanglebih tegas perlu diambil keatas penceroboh-penceroboh harta wakaf dan Baitul mal menurut bidang kuasa yang diperuntukan oleh undang-undang,untuk mempastikan harta-harta yang diamanahkan itu benar-benar dalam kawalan dan terjamin mencapai tujuan wakaf.

 

Huraian:

 

Dato’ Pengerusi membentang masalah yang dikemukakan oleh pihak Bahagian Pembangunan Majlis bagi mendapatkan fatwa di mana satu kertas mengenainya disediakan. Untuk itu, beliau meminta Pegawai Pembangunan Majlis,  Amat Bin Yahya memberi penjelasan terperinci kepada sidang berhubung dengan cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam kertas tersebut.

 

Pegawai Pembangunan menerangkan bahawa kertas cadangan itu disediakan bagi mendapat fatwa Jemaah Ulama’ mengenai suatu konsep penyusunan pengurusan  pembangunan tanah-tanah  wakaf yang di bawah kawalan Majlis Agama Islam Kelantan.

 

Matlamat yang hendak dicapai dari rancangan itu ialah:

 

(1) Untuk mempastikan tanah-tanah wakaf umat  Islam diselenggarakan dengan baik bagi meneruskan jariah wakaf.

 

(2) Tanah-tanah wakaf yang berpotensi dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk dibangunkan bagi meningkatkan pendapatan di mana ianya penting memandangkan pendapatannya yang sedia ada itu semakin merosot dan tidak dapat lagi menampung perbelanjaan pengurusan harta wakaf dan juga perbelanjaan – perbelanjaan lain bagi memenuhi wakaf itu sendiri.

 

(3) Majlis sebagai nazir yang bertanggungjawab ke atas harta wakaf umat Islam di negeri ini perlu mempelbagaikan sumber ekonomi bagi faedah umat Islam dan harta tetap wakaf yang ada itu amat sesuai dijadikan sebagai satu sumber ekonomi jika dapat dibangunkan dengan tersusun menurut kaedah-kaedah yang sesuai.

 

Kertas tersebut mencadangkan dua konsep bagi maksud membangunkan tanah-tanah wakaf iaitu konsep pembelian tanah wakaf oleh Majlis melalui dana Baitulmal dan konsep penjualan tanah wakaf tersebut kepada pihak swasta di mana pendapatan dari jualan tersebut digunakan bagi membeli harta tetap lain yang lebih baik dari sudut hasilnya sebagai ganti. Langkah tersebut dikira lebih wajar bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul pada tanah-tanah wakaf di bawah kawalan Majlis termasuk masalah penyalahgunaan harta wakaf oleh penyewa- penyewa, pencerobohan oleh orang awam dan lain-lain masalah berlarutan yang sering terjadi ke atas tanah-tanah wakaf.

 

Sidang juga diberi penjelasan tambahan oleh pegawai Baitulmal, Ustaz Mohd Salleh terutama mengenai kedudukan tanah wakaf yang ada di bawah jagaan Majlis seperti wakaf am masjid, wakaf khas untuk masjid-masjid tertentu dan sekolah-sekolah pondok, wakaf am dan wakaf khas. Selain dari itu beliau mengemukakan beberapa pendapat mengenai hukum yang menyentuh penggunaan harta –harta wakaf tersebut yang dipetik dari kitab-kitab tertentu sepertiالفقه على المذاهب الخمسة olehمحمد جواد المغنيةdanالشريعة والقانون الوقف فىoleh  زهدى يكنserta beberapa kemusykilan tentang hukum.

 

Mesyuarat membincang masalah yang dikemukakan dalam kertas yang disediakan itu dengan panjang lebar dengan merujuk kepada nas-nas syarie yang terdapat dalam kitab yang muktabar. Selain dari aspek hukum, mesyuarat juga melihat kedudukan tanah wakaf yang ada di bawah jagaan Majlis dari aspek sosial, ekonomi dan keperluan masa kini dengan berpegang kepada prinsip bahawa harta –harta wakaf  adalah suatu amanah umat Islam yang wajib diselenggarakan dengan betul oleh pemegang amanah menurut kehendak hukum syarak dengan mengambil kira aspek-aspek tersebut.

PENSIJILAN

PENSIJILAN
mpc2.jpg

Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

Paparan terbaik dengan resolusi 1280 x 800

Hakcipta © 2010 - 2021 Pejabat Mufti Negeri Kelantan
Paparan terbaik dengan IE 7.0, Google Chrome 10.0, Safari 4.0, Opera 10.0 atau Mozilla Firefox 3.0 dengan resolusi 1280 x 800
Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Kompleks Islam Darulnaim, Jalan Sultan Yahya Petra, 15200 Kota Bharu Kelantan. Tel : 09 7482023 Faks : 09 7478170 Email : jabmufti@kelantan.gov.my
Kemaskini Terakhir :

Search