A- A A+
INGIN MEMBERI MAKLUMBALAS KEPADA KAMI? KLIK DISINI

Fatwa Berhubung Perincian Tentang Asnaf Lapan Dan Kadar Zakat Yang Ditetapkan Kepada Setiap Asnaf

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

FATWA TAHUN 2007

 

FATWA BERHUBUNG PERINCIAN TENTANG ASNAF LAPAN DAN KADAR ZAKAT YANG DITETAPKAN KEPADA SETIAP ASNAF

 

Kategori : Ibadat (Zakat)

 

 

Isu Dan Masalah:

 

Mesyuarat dimaklumkan bahawa isu ini dibincangkan supaya satu fatwa dikeluarkan tentang tafsiran asnaf-asnaf lapan yang berhak menerima zakat agar kaedah pengagihan wang zakat yang diuruskan oleh Majlis Agama Islam Kelantan dapat diperkemaskan pada masa-masa yang akan datang.

 

Keputusan   :

 

Mesyuarat  Jemaah  Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 1/2007 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Majlis Agama Islam Kelantan  pada  28 Oktober   2007 telah membincangkan isu Fatwa Berhubung Perincian Tentang Asnaf Lapan Dan  Kadar Zakat Yang Ditetapkan Kepada Setiap Asnaf dan telah bersetuju menfatwakan  seperti  berikut :

 

Setelah membincangkan isu ini Mesyuarat Jamaah Ulama’ bersetuju mentafsirkan asnaf-asnaf lapan yang berhak menerima zakat seperti berikut :

 

 

1.   Fakir

 

Orang Islam yang tidak mempunyai harta benda atau pekerjaan atau mempunyai pendapatan tetapi tidak mencapai lima puluh peratus daripada had kifayahnya untuk keperluan diri dan tanggungannya.

 

2.   Miskin

 

Orang Islam yang mempunyai harta atau pendapatan yang hanya boleh menampung lima puluh peratus untuk keperluan diri dan tanggungannya tetapi tidak mencapai had kifayah.

 

Bahagian Fakir dan Miskin ini tidak boleh diberikan kepada orang kaya dan kepada orang yang mampu bekerja dan menghasilkan keperluan yang cukup untuk diri dan mereka yang di bawah tanggunggannya.

 

3.   Amil (pengurus zakat)

 

Dalam istilah sekarang di Malaysia, Amil ditakrifkan sebagai sebuah organisasi yang padanya terdapat kakitangan yang terlibat dalam pentadbiran dan pengurusan zakat, begitu juga pertubuhan atau individu yang dilantik oleh badan tersebut.

 

Di Negeri Kelantan, Majlis Agama Islam Kelantan merupakan Amil Zakat dan berhak mendapatkan 1/8 daripada jumlah kutipan wang zakat yang dipunggut sebagai salah satu daripada asnaf penerima zakat. Peruntukan 1/8 ini hendaklah digunakan untuk membayar upah amil-amil yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Kelantan terdiri daripada pegawai-pegawai Majlis, pertubuhan dan orang-orang awam. Baki daripada peruntukan tersebut boleh digunakan untuk Pengurusan Am Majlis Agama Islam Kelantan seperti pembayaran gaji kepada kakitangan dan perbelanjaan menjalankan operasi-operasi lain.

 

4.   Al-Muallafatu Qulubuhum

 

Asnaf Al-Muallafatu Qulubuhum di bahagikan kepada 2 golongan, iaitu golongan Muslim dan golongan Kafir.

 

4.1       Golongan Muslim meliputi :

 

                                                              i.      Orang yang baru memeluk Agama Islam.

 

                                                            ii.      Ketua-ketua kumpulan Islam yang mempunyai hubungan baik dengan ketua-ketua kumpulan bukan Islam yang sama taraf dengannya.

 

                                                          iii.      Ketua-ketua kumpulan Islam yang masih belum mantap  imannya tetapi masih berpengaruh.

 

4.2.      Golongan bukan Muslim (Kafir) pula meliputi :

 

     i. Orang yang berkemungkinan menerima Islam.

 

     ii.. Boleh dipujuk supaya tidak memusuhi orang Islam.

 

 

5.   Fir Riqab

 

Pada dasarnya ia bererti membebaskan seseorang itu daripada perhambaan. Bahagian ini adalah bertujuan untuk disumbangkan kepada usaha-usaha untuk menamatkan sistem atau amalan perhambaan.

Apabila amalan perhambaan secara tradisi sudah terhapus sepenuhnya sekarang, Mesyuarat bersetuju memfatwakan takrif Ar Riqab ini perlu diperluaskan lagi kepada pembebasan yang mencangkupi segala bentuk perhambaan dan penindasan yang ada seperti pembebasan dari belenggu kejahilan, pembebasan golongan lemah dari cengkaman orang-orang yang berkuasa dan pembebasan dari perhambaan ekonomi, politik dan sebagainya.

 

 

 

 

 

 

6.   Al- Gharimin (Orang-orang berhutang)

 

Orang-orang berhutang yang layak menerima zakat ialah orang yang berhutang untuk faedah awam seperti untuk menghapuskan persengketaan dua pihak dan sebagainya.

Bagi individu yang berhutang untuk tujuan peribadi, mereka hanya boleh dimasukkan ke dalam asnaf ini dengan syarat beliau mestilah tidak memiliki harta dalam kadar yang mencukupi (haddul kifayah).

 

7.   Fi Sabilillah

 

Ditafsirkan dalam konteks yang lebih luas iaitu segala bentuk usaha yang ikhlas bagi mencapai keredhaan Allah.

Oleh itu ia merangkumi segala bentuk kebajikan seperti bantuan untuk peperangan menentang musuh Islam, bantuan kepada pelajar dan apa sahaja bentuk ketaatan dan pendekatan diri kepada Allah.

 

8.   Ibnu Sabil

 

Iaitu orang-orang musafir yang dimaksudkan dengan musafir dalam konteks ini bukan sahaja orang yang sedang dalam perjalanan tetapi juga orang yang berniat untuk bermusafir.

Begitupun, musafir itu mestilah dengan tujuan bukan untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam atau maksiat.

 

 

 

 

 

PENSIJILAN

PENSIJILAN
mpc2.jpg

Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

Paparan terbaik dengan resolusi 1280 x 800

Hakcipta © 2010 - 2021 Pejabat Mufti Negeri Kelantan
Paparan terbaik dengan IE 7.0, Google Chrome 10.0, Safari 4.0, Opera 10.0 atau Mozilla Firefox 3.0 dengan resolusi 1280 x 800
Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Kompleks Islam Darulnaim, Jalan Sultan Yahya Petra, 15200 Kota Bharu Kelantan. Tel : 09 7482023 Faks : 09 7478170 Email : jabmufti@kelantan.gov.my
Kemaskini Terakhir :

Search