A- A A+
INGIN MEMBERI MAKLUMBALAS KEPADA KAMI? KLIK DISINI

Penjelasan Berhubung Dengan Harga Fitrah

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

PENJELASAN BERHUBUNG DENGAN HARGA FITRAH

 

Kategori    : Zakat

 

Keputusan:

 

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 14 Jun 1998 telah membincangkan mengenai Penjelasan Berhubung Dengan Harga Fitrah dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

 

1.                   Bersetuju dengan kaedah yang dipakai oleh Majlis iaitu berdasarkan sukatan dan timbangan berasaskan gantang Baghdad menurut alat yang ada itu diteruskan untuk menentukan harga fitrah di negeri ini.

 

2.                   Bersetuju memperakui bahawa harga bagi satu fitrah tahun ini ialah RM3.80, berasaskan kiraan sukatan dan timbangan beras yang dinyatakan di atas (RM1.55 x 2400 gram).

 

Untuk penyelarasan serta kemudahan dalam membuat penentuan harga zakat fitrah di seluruh Malaysia pada masa akan datang, mesyuarat bersetuju membuat keputusan mengesyorkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (JAKIM) supaya membuat penyelarasan dengan semua negeri berhubung dengan masalah penentuan zakat fitrah. Ini adalah mustahak untuk mewujudkan keseragaman penggunaan kaedah penentuan nilai harga zakat fitrah sesuai dengan kedudukan sebagai salah satu ibadat yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam di negara ini.

 

Huraian:

 

Tuan Pegawai Zakat memaklumkan kepada mesyuarat bahawa adalah menjadi kelaziman kepada Majlis Agama Islam Kelantan apabila tiba bulan Ramadhan, Pentadbiran Majlis membuat tinjauan tentang harga beras berdasarkan harga pasaran semasa untuk penetapan harga fitrah yang akan dikeluarkan oleh umat Islam di negeri Kelantan.  Proses untuk mendapatkan harga fitrah dilakukan sebagaimana berikut:

 

1.                   Tinjauan dibuat ke atas harga beras yang lazim dibeli oleh orang ramai di beberapa buah bandar jajahan untuk mengetahui harga di pasaran.

 

2.                   Setelah harga – harga tersebut diperolehi ianya  didarab 2.685 kilogram iaitu kadar yang ditetapkan satu gantang Baghdad yang diperakui dan diterima pakai oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Dengan itu terhasillah harga bagi satu zakat fitrah untuk dikuatkuasakan di negeri ini.

 

3.                   Cadangan ketetapan harga fitrah tersebut diangkat bagi ampuni perkenan kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan sebelum diumumkan kepada orang ramai.

 

Pada tahun ini pihak Bernas telah menetapkan harga standard beras di seluruh Malaysia iaitu RM1.65 sekilogram bagi beras super 5%.  Dengan itu peniaga tidak boleh menjual melebihi harga tersebut, tetapi boleh menjual kurang dari harga itu jika mahu.  Dengan itu, rata – rata peniaga mampu menjual dengan harga RM1.55 sekilogram. Inilah asas harga yang diperakukan untuk penentuan harga fitrah. Dengan itu, harga bagi satu fitrah  yang dicadangkan pada tahun adalah sebagaimana berikut:

 

RM1.55 x 2.685 kilogram =RM4.20

 

Cadangan harga zakat fitrah ini (RM4.20) adalah menjadi lebih tinggi sedikit berbanding dengan negeri-negeri lain seperti Pahang (RM3.00), Selangor (RM3.60), Negeri Sembilan (RM3.70), Perak (RM3.50), Pulau Pinang, Melaka (RM3.50) dan Wilayah Persekutuan (RM3.40). Perbezaan ini adalah berpunca dari perbezaan penggunaan alat sukatan yang ditetapkan oleh syarak ( gantang Baghdad ) di mana bagi negeri Kelantan, model sukatan tersebut masih wujud dengan saiznya yang sama dengan alat sukatan asal dan ianya diguna pakai sejak dahulu lagi untuk menentukan zakat fitrah di negeri ini.

Sebab itulah walaupun sebelum ini harga beras di pasaran negeri Kelantan lebih murah berbanding dengan negeri-negeri lain, tetapi harga nilai fitrah agak tinggi sedikit atau sekurang-kurangnya sama dengan negeri lain disebabkan penggunaan alat sukatan seperti yang dinyatakan di atas.

 

Perbincangan :

 

Mesyuarat mengambil perhatian di atas semua penjelasan yang disampaikan oleh Pegawai Zakat serta berbincang dengan hemat akan persoalan-persoalan yang berbangkit termasuk kekhilafan yang wujud antara negeri ini dengan negeri-negeri lain.

 

Selain dari itu mesyuarat juga menyaksikan sendiri demonstrasi sukatan dan timbangan beras dengan menggunakan gantang Baghdad untuk mendapat kepastian yang jelas berhubung dengan sukatan dan timbangan beras dari jenis super yang diperakui oleh Bernas dan keputusannya adalah sebagaimana berikut:

 

1 Gantang Baghdad bersamaan 2400 gram (2.4 kilogram) bagi sukatan rata atau 2560 gram (2.6 kilogram) bagi sukatan timbul. 

 

 

 

PENSIJILAN

PENSIJILAN
mpc2.jpg

Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

Paparan terbaik dengan resolusi 1280 x 800

Hakcipta © 2010 - 2021 Pejabat Mufti Negeri Kelantan
Paparan terbaik dengan IE 7.0, Google Chrome 10.0, Safari 4.0, Opera 10.0 atau Mozilla Firefox 3.0 dengan resolusi 1280 x 800
Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Kompleks Islam Darulnaim, Jalan Sultan Yahya Petra, 15200 Kota Bharu Kelantan. Tel : 09 7482023 Faks : 09 7478170 Email : jabmufti@kelantan.gov.my
Kemaskini Terakhir :

Search