INGIN MEMBERI MAKLUMBALAS KEPADA KAMI? KLIK DISINI

VIRUS ZIKA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

FATWA TAHUN 2016

 

VIRUS ZIKA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

(Kertas Mesyuarat Jemaah Ulama’ Bil: 4/4/2016)

 

Kategori; Perubatan

 

Keputusan:

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 11 Disember 2016 bersamaan 11 Rabiulawal 1437H  telah membincangkan isu mengenai Virus Zika Menurut Perspektif Islam.

 

1.         Mesyuarat membincangkan isu ini dengan meneliti kertas kerja yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sempena mesyuarat jawatankuasa peringkat tertinggi bagi membincangkan isu Virus Zika pada 28 September 2016 di Putrajaya.

 

2.         Kementerian Kesihatan Malaysia dalam laporannya bertarikh 14 September 2016 menyatakan bahawa sehingga 13 September 2016 terdapat sebanyak enam kes Zika telah dilaporkan di seluruh Negara. Kesemua kes yang dijangkiti Zika ini telah dimasukkan ke hospital untuk pemantauan rapi. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh pakar Virologi di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ke atas Virus Zika bagi dua kes pertama yang positif, hasil kajian menunjukkan ianya dari Asian lineage dimana jujukan Ginum kes pertama di Johor menyerupai Fench Polynesia. Manakala jujukan Ginumkes kedua di Sabah adalah menyerupai jujukan Ginum setempat (Micronesia). Justeru, pihak Kementerian telah menggesa agensi-agensi yang berkaitan dan masyarakat mengambil langkah pencegahan dengan kadar segera bagi membendung penularan wabak penyakit ini.

 

3.         Jangkitan Virus Zika ini dibawa melalui nyamuk Aedes. Ia adalah nyamuk yang sama yang menyebarkan denggi dan Chikungunya. Gejala virus Zika menyerupai demam denggi seperti demam, sakit otot, sakit sendi, sakit kepala, sakit dibelakang mata, konjunktivitis dan ruam. Namun begitu, sebahagian besar mereka yang dijangkiti, tidak menunjukkan sebarang gejala klinikal. World Health Organizatian (WHO) juga telah melaporkan bahawa terdapat kaitan antara kejadian jangkitan Virus Zika dengan kejadian ‘Microcephaly’ di Brazil dan “Guillain Barre Syndrome” di beberapa Negara lain.

 

4.         Microcephaly ialah kecacatan semasa lahir dimana kepala bayi lebih kecil daripada biasa. Semasa dalam kandungan, kepala bayi membesar kerana otaknya membesar. Jika otak bayi tidak berkembang dengan sempurna semasa dalam kandungan atau perkembangan terhenti selepas lahir ini boleh mengakibatkan Microcephaly. Ia boleh terjadi bersendirian ataupun seiring dengan kecacatan semasa lahir yang lain.

 

5.         Justeru, penularan Virus ini memberi kesan kesihatan yang besar kepada penghidapnya terutama kepada wanita hamil. Wanita hamil yang positif Zika dikhuatiri menjejaskan kandungan dengan “Microcephaly” dan seumpamanya.

 

6.         Setelah meneliti kertas kerja tersebut mesyuarat bersetuju dengan syor yang dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengawal penularan Virus Zika seperti berikut :

 

1.    Sekiranyan ada rakyat negara ini yang menghidap gejala demam dan tanda-tanda jangkitan Zika setelah kembali dari Negara yang dijangkiti, maka hendaklah segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

 

2.    Rakyat Malaysia disaran menangguh perjalanan ke negara terlibat khususnya wanita yang mengandung. Jika terpaksa juga melakukan perjalanan tersebut, perlulah mengambil langkah-langkah pencegahan daripada digigit oleh nyamuk aedes seperti pakaian yang menutupi anggota badan dan menggunakan ubat pencegahan gigitan (Repellent) secara tetap.

 

3.    Agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta rakyat Malaysia di negara ini juga perlu melakukan langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

 

                              I.        Memastikan kawasan persekitaran terutama tempat-tempat awam bersih daripada tempat pembiakan nyamuk.

 

                            II.        Melindungi diri daripada gigitan nyamuk dan mencegah berlakunya jangkitan kepada orang lain seperti menggunakan Repellent, memakai pakaian yang menutup anggota badan, menggunakan kelambu dan menggunakan semburan aerosol untuk membunuh nyamuk.

 

                           III.        Masyarakat melakukan langkah pencegahan iaitu aktiviti cari dan musnah tempat-rempat pembiakan nyamuk aedes setiap minggu di premis masing-masing.

 

                          IV.        Disarankan untuk memasang jejaring pada tingkap untuk mengelakkan nyamuk masuk kedalam rumah.

 

Langkah-langkah yang disyorkan ini bersesuaian dengan kaedah usul fiqh “saddu zara’i “iaitu menyekat pintu kerosakan yang bertepatan dengan Maqasid Syariah yang antaranya menjaga nyawa dan harta.

 

7.         Manakala bagi isu pengguguran janin wanita positif Virus Zika mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa pengguguran janin adalah:

 

1.    Dibolehkan bagi janin yang belum mencapai 120 hari( empat bulan) setelah disahkan oleh pakar perubatan implikasinya kepada wanita berkenaan atau kecacatan kepada janin berkenaan.

 

2.    Manakala,  bagi yang sudah mencapai 120 hari  ia tidak dibolehkan kecuali jika kehamilan itu berterusan mengundang masalah kepada kesihatan dan bahaya kepada kehidupan wanita berkenaan. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh :

ارتكاب اخف الضررين

 

          Maksudnya: mengambil yang lebih ringan diantara dua kemudhratan. Ia bermaksud mendahulukan nyawa ibu yang mengandung yang sudah pasti hidup untuk diselamatkan berbanding janin yang masih tidak pasti keadaannya. Maka jika ia tidak membahayakan nyawa ibunya pengguguran janin adalah diharamkan.

PENSIJILAN

PENSIJILAN
mpc2.jpg

Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

Paparan terbaik dengan resolusi 1280 x 800

© Copyright {2019} Jabatan Mufti Negeri kelantan. Hak Cipta Terpelihara.

Search