A- A A+
INGIN MEMBERI MAKLUMBALAS KEPADA KAMI? KLIK DISINI

Fatwa Tentang Buku Irsyad Al Asfiya’ Ila Tariqati Khatmul Aulia Yang Disusun Oleh Ahmad Al-Hadi Al-Hasani Al-Maghribi Terjemahan Dalam Bahasa Melayu (Meniti Jalan Hidayah Menuju Tariqah Khatmul Aulia) Yang Diamalkan Oleh Ustaz Yahya Bin Zakaria Dan Pengik

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

FATWA 1.

Tarikh Keputusan

:

27 Oktober 2013

Status Penwartaan

:

Warta

Tarikh Diwartakan

:

04 Ogos 2014

No. Rujukan

:

[PU.KN. 1/G/31(27)]

Akta/Enakmen        

:

[MAIK. D231/PK/155/Klt.4

 

 

 

Kategori

:

AKIDAH

 

Soalan

:

Fatwa Tentang Buku Irsyad Al Asfiya’ Ila Tariqati Khatmul Aulia Yang Disusun Oleh Ahmad Al-Hadi Al-Hasani Al-Maghribi Terjemahan Dalam Bahasa Melayu (Meniti Jalan Hidayah Menuju Tariqah Khatmul Aulia) Yang Diamalkan Oleh Ustaz Yahya Bin Zakaria Dan Pengikut-Pengikutnya Di Kampung Banggol Stol Pasir Mas

 

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 36 Enakmen Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 [En. No. 4/1994] dan seksyen 39 Enakmen Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Pindaan) 1998 [En. No. 3/1998]. Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menerusi Jamaah Ulama yang bersidang pada 22 Zulhijjah 1434 Hijrah bersamaan 27 Oktober 2013 dan atas titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V membuat fatwa seperti berikut :

1.      Bahawa ahli Pondok Banggol Stol Pasir Mas yang diketuai oleh Ustaz Yahya bin Zakaria dan pengikut-pengikutnya yang dikatakan mengikut ajaran Tarikat al-Tijani bukan merupakan ahli Tarikat al-Tiajani yang dikenali di peringkat antarabangsa berdasarkan pengakuan dan ikrar yang dibuat oleh mereka. Oleh itu, kumpulan ini dilarang menggunakan nama atau menisbahkan diri mereka sebagai ahli Tarikat al-Tijani.

 

2.      Mesyuarat juga mendapati bahawa kumpulan ini telah mengamal dan menyebarkan wirid, zikir dan ajaran yang terkandung di dalam buku ‘Irsyad al-Asfiya’ Ila Tariqati Khatimul Aulia’ yang disusun oleh Ahmad al-Hadi al Hasani al-Maghribi. Buku ini telah diterjemahkan ke bahasa melayu ‘Meniti Jalan Hidayah Menuju Tariqat Khatimul Aulia’ oelh Muhammad Bakri al-Tijani;

 

 

3.      Setelah meneliti kandungan buku tersebut, mesyuarat bersetuju menfatwakan buku tersebut mengandungi ajaran dan fahaman yang menyeleweng serta meragukan daripada ajaran Islam.

            Berikut adalah perkara yang menyeleweng dan meragukan sebagaimana yang terkandung di dalam buku tersebut;

 

a)      Menjadikan yakazah (jaga) dan kata-kata syeikh Ahmad al-Tijani sebagai sumber utama ajaran yang melibatkan perkara syariat dan akidah.

 

Sebahagian besar kepercayaan ataupun amalan di dalam Tarikat al-Tijani adalah didakwa diambil secara yakazah terus daripada Rasulullah SAW dan juga daripada Syeikh Ahmad al-Tijani sendiri. Bermula daripada pengambaraan Ahmad al-Tijani dari satu tempat ke satu tempat yang lain, kandungan tarikatnya dan sehinggalah kepada segala-galanya. Tidak ada suatu perkara pun yang berkaitan dengan Tarikat al-Tijani kecuali kebaikannya disandarkan kepada Rasulullah SAW dan juga kata-kata Syeikh Ahmad al-Tijani. Ia termasuk perkara-perkara yang berkaitan dengan ibadat, akidah mahupun yang berkaitan dengan urusan harian;

 

(b)   Ahmad al-Tijani sebagai penutup sekalian wali (khatimul aulia) para pengikut Tarikat al-Tijani mempercayai bahawa pengasas Tarikat al-Tijani iaitu Ahmad al-Tijani merupakan penutup bagi sekalian wali. Ia adalah merupakan kepercayaan utama yang didoktrinkanoleh pembawa tarikat ini kepada ahli-ahlinya. Penutup bagi sekalian wali bermaksud tidak aka nada wali sebelum atau sesudahnya yang boleh menandingi kesempurnaan darjat kewalian Ahmad al-Tijani. Sebagaimana  Allah SWT telah melantik Nabi Muhammad SAW sebagai khatimun nubuwah syariat,  begitu jugalah Allah swt telah melantik seorang khatimul aulia’ Muhammadi di kalangan umat Nabi Muhammad SAW manakala martabat bagi khatimul aulia’ pula adalah perantara antara hadrah kenabian dan hadrah kewalian;

 

(c)   Kewajipan meninggalkan guru sama seperti tunggalnya tuhan yang menjadikan alam.

Pengikut Tarikat al-Tijani diwajibkan hanya seorang guru sahaja sebagai murabbinya. Mereka juga tidak dibenarkan mencari, mengadu dan menziarahi guru-guru lain sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia kecuali kepada gurunya sahaja. Menurut tarikat ini kewajipan meninggalkan guru ini samalah seperti ala mini tidak boleh tercipta dari kerana dua tuhan.

(d) Kitab Jawahirul Maani  telah mendapat izin dan jaminan daripada Rasulullah SAW.

      Kitab Jawahirul Maani  yang merupakan salah satu kitab rujukan utama dalam Tarikat al-Tijani dianggap telah mendapat keizinan dan jaminan daripada Rasulullah saw dan Rasulullah sendiri berpesan supaya kitab ini dijaga dengan sebaik mungkin;

 

(e)Rasulullah selalu bersama Ahmad al-Tijani dan bertanggungjawab ke atas tarikatnya.

Antara kelebihan yang didakwa ada pada Ahmad al-Tijani sebagai Khamitul aulia dan tarikatnya ialah Rasulullah saw sentiasa ada bersama beliau dan bagindalah yang bertanggungjawab ke atas segala urusan beliau dan tarikatnya berterusan sehinggalah ke hari kiamat.

 

(f)Kepercayaan terhadap Martabat Tujuh.

Antara kelebihan lain yang boleh didapati daripada tarikat ini ialah akan diberikan pembukaan rahsia hakikat Muhammadiyah, apabila mengakui dan mengiktiraf peranan Nabi Muhammad SAW sebagai perantara Allah SWT dan makhluk. Hakikat Muhammadiyah adalah umpama cerminan dan bayangan bagi zat Allah swt yang datang daripada Allah swt.

 

(g)   Pengikut Tarikat al-Tijani akan digandakan pahala kebaikan.

 

Mengikut Tarikat al-Tijani, Rasulullah SAW telah memberikan jaminan terhadap para pengikut al-Tijani bahawa setiap pahala kebaikan mereka akan digandakan. Ia seumpama bandingan gandaan pahala yang diperolehi oleh umat  Nabi Muhammad SAW berbanding umat yang terdahulu. Sebagai contoh, gandaan pahala yang akan diperolehi pengikut tarikat ini apabila membaca zikir mereka adalahseperti berikut :

·         Selawat jauharah al-kamal : satu zikir daripadanya menyamai tiga kali ibadat sekalian makhluk; dan

·         Zikir kanzul mutalsam: sekiranya dihimpunkan kesemua ibadat makhluk Allah SWT yang ada dan hendak dibandingkan dengan satu zikir daripadanya, nilainya hanyalah seumpama setitis air di lautan yang luas.

 

(h)   Zikir Tarikat al-Tijani adalah susunan daripada Ahmad al-Tijani bahawa zikir dalam tarikatnya bukanlah daripada susunannya sendiri; bahkan disusun oleh Rasulullah SAW;

 

(i)     Kelebihan luar biasa zikir Tarikat al-Tijani

Kesemua zikir yang terdapat di dalam Tarikat al-Tijani mempunyai kelebihan yang luar biasa sehingga ada diantaranya boleh menandingi pahala bacaan al-Quran seperti selawat al-Fatih;

 

(j)     Sesiapa yang mengambil wirid Ahmad al-Tijani akan dibebaskan daripada api neraka.

Menurut Ahmad al-Tijani yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW bahawa sesiapa yang mngambil wirid daripada Ahmad al-Tijani akan dibebaskan daripada api neraka termasuk kedua ibu bapanya, isteri-isterinya serta keturunannya; dan

 

(k)   Akan ditimpa musibah sekiranya meninggalkan Tarikat al-Tijani dan memasuki tarikat lain.

Sesiapa yang telah memasuki tarikat ini kemudian meninggalkannya untuk memasuki kumpulan yang lain, maka berhak ke atasnya ditimpa musibah di dunia dan akhirat, kerana perbuatannya seperti meninggalkan syariat Nabi Muhammad SAW.

 

 

4.      Fahaman dan ajaran seperti yang terkandung di dalam buku ini perlu disekat keseluruhannya kerana terdapat percanggahan dari sudut akidah dan syariah;

 

5.      Oleh itu, mana-mana orang Islam adalah dilarang berpegang dan beramal kepada ajaran dan fahaman tersebut kerana bertentangan ia dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.


Larangan ini meliputi –

 

a)      Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran tersebut di atas, dan termasuklah apa-apa pegangan ideologi, falsafah atau apa-apa kumpulan atau sistem amalan dan penunaian yang merangkumi bahawa tujuannya atau salah satu daripada tujuan-tujuannya ialah pencapaian pengajaran kebatinan, perlindungan kebatinan atau kewujudan kebatinan; iaitu suatu pegangan, ideology, falsafah, atau kumpulan atau sistem amalan penunaian yang tidak diakui dan bertentangan dengan syariat Islam dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

 

b)      Apa-apa bahan publisiti termasuklah apa-apa gambar, foto, poster, surat edaran, glansar filem, iklan di akhbar dan apa-apa bentuk pengiklanan yang bertujuan untuk memberi publisiti kepada apa-apa ajaran atau pegangan di atas; dan

 

 

c)      Apa-apa terbitan termasuklah mana-mana buku, majalah, risalah atau lain-lain bahan bacaan, sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dengan apa-apa cara jua dan mana-mana keluaran ulangannya, termasuklah apa-apa filem iaitu wayang gambar, pita rakaman, atau rekod walaubagaimana pun ianya dibuat, dari satu imej  berdasarkan penglihatan, yang mana adalah sebuah rekod yang mampu digunakan sebagai suatu alat menayangkan rangkaian itu sebagai maksud gambar bergerak; rakaman audio iaitu apa-apa bahan termasuk piring-piring hitam, fotografi, pita-pita rakaman, cakera laser dan cakera padat, yang mana dirakamkan suara manusia untuk dibaca, dilihat atau didengar yang berkaitan dengan ajaran-ajaran atau pegangan di atas.

 

6.      Oleh itu, orang Islam adalah dilarang mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman tersebut; menjadi ahli, mengetuai, memimpin, memberi atau menyertai ceramah, mengadakan atau menyertai aktiviti-aktiviti ekonomi, sosial, program persembahan kesenian dan kebudayaan dan lain-lain aktiviti yang bertujuan untuk menghidup dan mengembangkan ajaran ini;

 

7.      Mana-mana orang Islam adalah dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan filem, rakaman audio, buku-buku, terbitan, risalah atau apa-apa dokumen; mengandungi ajaran di atas dan menggunakan sebarang bentuk lambang rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan ajaran tersebut kepada mana-mana harta alih atau tidak alih. Dan semua pihak dilarang daripada memberi kemudahan dan membantunya;

 

 

8.      Mesyuarat Jamaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dengan ini mengarahkan mana-mana orang atau mana-mana kumpulan termasuklah kumpulan Pondok Banggol Stol Pasir Mas yang diketuai oleh Ustaz Yahya bin Zakaria menghentikan serta-merta daripada mengamalkan zikir serta wirid yang terkandung di dalam buku tersebut. Sebaliknya digalakkan mengamalkan wirid dan zikir al-ma’thurat iaitu zikir, wirid serta doa yang disandarkan kepada Rasulullah SAW melalui hadis-hadis yang sahih; dan

 

9.      Adalah ditetapkan mana-mana orang Islam yangn mengingkari fatwa ini telah melakukan kesalahan di bawah peruntukan seksyen 32 Enakmen Kanun Kesalahan Jenayah Syariah 1985 [En. No. 2/1985], seksyen 115, 116, 119 dan 121 Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994

PENSIJILAN

PENSIJILAN
mpc2.jpg

Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

Paparan terbaik dengan resolusi 1280 x 800

Hakcipta © 2010 - 2021 Pejabat Mufti Negeri Kelantan
Paparan terbaik dengan IE 7.0, Google Chrome 10.0, Safari 4.0, Opera 10.0 atau Mozilla Firefox 3.0 dengan resolusi 1280 x 800
Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Kompleks Islam Darulnaim, Jalan Sultan Yahya Petra, 15200 Kota Bharu Kelantan. Tel : 09 7482023 Faks : 09 7478170 Email : jabmufti@kelantan.gov.my
Kemaskini Terakhir :

Search