A- A A+
INGIN MEMBERI MAKLUMBALAS KEPADA KAMI? KLIK DISINI

Fatwa Mengenai Status Agama Anak Bawah Umur Selepas Salah Seorang Pasangan Memeluk Islam

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

FATWA TAHUN 2017

 

 

 

FATWA MENGENAI STATUS AGAMA ANAK BAWAH UMUR SELEPAS SALAH SEORANG PASANGAN MEMELUK ISLAM

(Kertas Mesyuarat Jamaah Ulama’ Bil : 3/2/2017)

Tarikh : 06 Ogos 2017 / 13 Zulkaedah 1438H

 

(Kategori : Sosial Syariah)

 

Keputusan:

Mesyuarat Jamaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 06 Ogos 2017 bersamaan 13 Zulkaedah 1438H telah membincangkan isu mengenai Status Agama Anak Bawah Umur Selepas Salah Seorang Pasangan Memeluk Islam dan telah bersetuju memutuskan sebagaimana berikut:

1.         Mesyuarat membincangkan perkara ini berdasarkan kertas kerja Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam bilangan 4/8/2009.

2.         Mesyuarat membincangkan perkara ini kerana pihak kementerian dalam negeri memohon agar setiap negeri memfatwakan hukum status agama anak bawah umur selepas salah seorang pasangan memeluk Islam supaya polemik mengenai isu ini dikalangan masyarakat dapat dijawab. Fatwa ini juga perlu untuk membendung usaha-usaha yang dilakukan oleh beberapa pihak yang mempertikaikan status agama Islam kanak-kanak bawah umur selepas salah seorang pasangan memeluk agama Islam.

 

Keputusan:

3.         Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, mesyuarat bersetuju memfatwakan seperti berikut :

3.1.      Di dalam Islam Jumhur Ulama’ telah bersepakat bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak di bawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan dibawah ibu atau bapa yang beragama Islam.

3.2.      Oleh yang demikian, apabila salah seorang pasangan ( ibu atau bapa ) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan tersebut adalah secara langsung beragama Islam.

3.3.      Mesyuarat juga bersetuju supaya perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang diperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya tidak perlu dipinda.

Huraian

4.         Keputusan di bawah ini berdasarkan dalil-dalil dan hujah berikut :

4.1.      Menurut syarak, setiap anak yang dilahirkan itu fitrahnya adalah suci dan bersih seperti sabda Rasulullah S.A.W :

"كل مولود يولد على الفطرة فابواه يهودانه او ينصرانه او يمجسانه كمثل

 البهيمة هل ترى فيها جدعاء"

( رواه البخاري )

Maksudnya :setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibubapanyalah yang menjadikan mereka yahudi, nasrani atau majusi.

Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa fitrah dalam hadis di atas merujuk kepada Islam. Dalam erti kata lain, setiap anak-anak yang dilahirkan, secara fitrahnya mereka adalah Islam. Namun dengan didikannya yang diterima daripada ibu bapa yang bukan Islam, seorang anak akan menjadi bukan Islam sama ada yahudi, majusi, nasrani dan sebagainya mengikut anutan agama ibu bapanya. Ini juga bermakna seorang anak dilahirkan dalam keadaan selamat dari kekufuran dan itulah janji setiap jiwa kepada Allah tatkala mereka masih dalam kandungan ibunya.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-A’raf ayat 172:

وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِيٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَهُمۡ وَأَشۡهَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ

 أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡۖ قَالُواْ بَلَىٰ شَهِدۡنَآۚ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ إِنَّا كُنَّا عَنۡ هَٰذَا

 غَٰفِلِينَ ١٧٢

Ertinya: (Ingatlah wahai Muhammad) ketika tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri (sambil ia bertanya dengan firmannya) : “Bukankah aku tuhan kamu? Mereka semua menjawab: “ benar (engkau tuhan kami) kami menjadi saksi”, yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.  

PENSIJILAN

PENSIJILAN
mpc2.jpg

Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

Paparan terbaik dengan resolusi 1280 x 800

Hakcipta © 2010 - 2021 Pejabat Mufti Negeri Kelantan
Paparan terbaik dengan IE 7.0, Google Chrome 10.0, Safari 4.0, Opera 10.0 atau Mozilla Firefox 3.0 dengan resolusi 1280 x 800
Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Kompleks Islam Darulnaim, Jalan Sultan Yahya Petra, 15200 Kota Bharu Kelantan. Tel : 09 7482023 Faks : 09 7478170 Email : jabmufti@kelantan.gov.my
Kemaskini Terakhir :

Search