INGIN MEMBERI MAKLUMBALAS KEPADA KAMI? KLIK DISINI

HUKUM PENGGUNAAAN ROKOK ELEKTRONIK DAN VAPE (VAPE) MENURUT PANDANGAN ISLAM

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

FATWA TAHUN 2015

 

HUKUM PENGGUNAAAN ROKOK ELEKTRONIK DAN VAPE (VAPE) MENURUT PANDANGAN ISLAM.

Kategori : Sosial Syariah

Keputusan:

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 06 Disember 2015 Masihi Bersamaan 24 Safar 1437 Hijriah telah membincangkan  isu mengenai Hukum Penggunaaan Rokok Elektronik Dan Vape (Vape) Menurut Pandangan Islam.

         Mesyuarat mengambil maklum bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape  menjadi satu fenomena baru sejak kebelakangan ini. Ia dikatakan boleh menjadi alternative kepada rokok konvensional yang telah difatwakan haram di Negeri Kelantan.

         Mesyuarat juga telah mengambil maklum bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah membuat kajian tentang hukum penggunaan rokok elektronik dan vape secara terperinci.

 Setelah membincangkan perkara ini mesyuarat bersetuju memfatwakan bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram pada pandangan Islam.

1.         Keputusan ini dibuat berdasarkan hujah-hujah berikut:

2.         Pengharaman berdasarkan dalil-dalil berikut:

(1)    Rokok elektronik dan Vape termasuk dalam perkara “الخبائث”. Iaitu benda yang kotor dan jijik kerana pengambilan bahan-bahan ini boleh membawa kemudaratan kepada penggunanya serta orang lain disekitarnya. Perkara ini diakui oleh pakar-pakar perubatan berdasarkan kajian mereka. Firman Allah taala:

وَيُحِلُّلَهُم  الطَّيِّبَاتِ  وَيُحَرِّمُ  عَلَيْهِمُ  الْخَبَائِثَ                                                

Ertinya : Dihalalkan kepada mereka perkara-perkara yang baik dan diharamkan kepada mereka perkara-perkara yang kotor/ jijik.

(2)    Penggunaan rokok elektronik dan vape  memudaratkan tubuh.

Islam melarang umatnya membiarkan diri sendiri dan orang lain terdedah dengan berbagai bahaya dan kemudaratan. Penggunaan rokok elektronik dan vape adalah termasuk dalam kategori membinasakan diri sendiri dan orang lain samaada jangka pendek dan jangka panjang. Pandangan pakar-pakar perubatan tentang bahaya rokok elktronik dan vape kepada penggunanya dan orang lain disekitarnya adalah bukti jelas tentang kemudaratannya.

Firman Allah taala :

وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

(Surah Al Baqarah: 195)

Ertinya: Dan belanjakanlah harta benda dijalan Allah dan jangan kamu sengaja mencampak diri kamu kedalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

Sabda Rasulullah S.A.W. :لا ضرر ولا ضرار 

Maksudnya : tidak boleh mudaratkan diri sendiri dan mudaratkan orang lain (hadis riwayat Ahmad)

(3)    Penggunaan rokok elektronik dan vape adalah pembaziran. Membelanjakan wang terhadap perkara-perkara yang tidak mendatangkan kebaikan dan manfaat amatlah ditegah dalam Islam. Perbuatan sedemikian boleh mendatangkan keburukan dan membawa kepada pembaziran harta, masa dan tenaga. Penggunaaan rokok elektronik dan vape termasuk dalam kategori ini. Islam melarang setiap pembaziran seperti firman Allah.

ولا تبذر تبذيرا : سورة الاسراء اية  -    26                                              

Yang bererti : Dan janganlah kamu berbelanja dengan sangat boros.

 Pengharaman berdasarkan dalil Qias :

Penggunaan rokok elektronik dan vape merupakan antara isu yang tidak ditetapkan hukumnya oleh mana-mana nas syarak. Justeru penetapan hukumnya boleh dilakukan dengan menggunakan dalil qias sekiranya segala rukun dan syarat qias dapat dipenuhi. Penetapan hukum dengan menggunakan dalil qias ialah pentadbir dan disepakati Jumhur Ulama’.

Penggunaan rokok elektronik dan vape diqiaskan ke atas perbuatan meminum bahan-bahan beracun. Minum bahan-bahan beracun adalah haram berdasarkan hadis Nabi S.A.W :

وَمَنْ تَحَسَّىسُمًّ افَقَتَلَ نَفْسَهُ فَسُمُّهُ في يَدِهِيَ تَحَسَّاهُ في نَارِجَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فيها أَبَدًا،

Ertinya : Sesiapa meneguk racun lalu membunuh dirinya, maka racunnya akan sentiasa ditangani sambil meneguknya di neraka Jahanam

Hukum penggunaaan rokok elektronik dan vape adalah haram seperti hukum perbuatan meminum racun kerana illah (sebab) yang sama iaitu memudaratkan dan membinasakan tubuh badan.

 Pengharaman berdasarkan dalil maslahat.

Pihak berkuasa boleh mengambil keputusan mengharamkan rokok elektronik dan vape jika terdapat maslahat am ini berdasarkan kepada tanggungjawab pemerintah terungkap dalam kaedah fekah.

تصرف الامام على الرعية منوط بالمصلحة

Maksudnya : Tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah bergantung kepada maslahat.

Maka dapatlah disabitkan bahawa pengharaman penggunaan rokok elektronik dan vape adalah satu bentuk maslahat. Ini kerana penggunaan rokok elektronik membawa pelbagai implikasi dan kesan negatif seperti mendedahkan kepada penyakit berbahaya, menyakitkan orang sekeliling, membawa pembaziran,terdedah kepada penyalahgunaan dan sebagainya.

Pengharaman berdasarkan saddu azzarai’ iaitu menghalang daripada berlakunya perkara yang fasad.

Penghujahan berdasarkan kepada kaedah saddu azzarai’ adalah menyokong hujah sebelum ini iaitu dalil umum, qias dan maslahat. Ini kerana penjualan peralatan vape dipasaran tanpa kawalan akan mendedahkan kepada penyalahgunaan seperti  penyalahgunaan yang boleh membawa kepada pengedaran ganja dan dadah berbahaya.

PENSIJILAN

PENSIJILAN
mpc2.jpg

Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

Paparan terbaik dengan resolusi 1280 x 800

© Copyright {2019} Jabatan Mufti Negeri kelantan. Hak Cipta Terpelihara.

Search