A- A A+
INGIN MEMBERI MAKLUMBALAS KEPADA KAMI? KLIK DISINI

Perbincangan Mengenai Pentahkikan (Anutasi) Buku Himpunan Fatwa Majlis Agama Islam Kelantan Edisi Rumi Oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

FATWA TAHUN 2011

 

PERBINCANGAN MENGENAI PENTAHKIKAN (ANUTASI) BUKU HIMPUNAN FATWA MAJLIS AGAMA ISLAM KELANTAN EDISI RUMI OLEH DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA.

(Kategori :Sosial/ Syariah)

(Kertas Mesyuarat Jemaah Ulama’ Bil: 3/1/2011).

Tarikh :24 Februari 2011/21 Rabiulawal 1432H

 

 

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan yang bersidang pada 24 Februari 2011 bersamaan 21 Rabiulawal 1432H telah membincangkan isu Mengenai Pentahkikan (Anutasi) Buku Himpunan Fatwa Majlis Agama Islam Kelantan Edisi Rumi Oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka dan mesyuarat telah bersetuju memutuskan  seperti berikut:

Keputusan:

1.         Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan tidak bertanggungjawab terhadap sebarang tahkik yang dibuat oleh panel pentahkik yang ditubuhkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka mengenai Buku Himpunan Fatwa Mufti Kerajaan Negeri Kelantan yang disifatkan tidak mencerminkan pandangan Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan dan menasihati Majlis Agama Islam Kelantan untuk tidak memberipersetujuan kepada Dewan Bahasa Dan Pustaka bagi penerbitan dan percetakan buku himpunan fatwa edisi  rumi tersebut.

2.         Menasihati Majlis Agama Islam Kelantan supaya menerbit dan mencetak sendiri buku himpunan fatwa tersebut dalam edisi rumi.

3.         Menasihati Majlis Agama Islam Kelantan supaya mengawal segala urusan mengenai fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan dari dicetak dan diterbitkan oleh pihak lain tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Kelantan kerana segala urusan berkaitan fatwa adalah terletak dibawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Kelantan mengikut seksyen 36 Enakmen Majlis Agama Islam Kelantan bilangan 4 tahun 1994.

Hujah :

Keputusan ini dibuat atas sebab berikut:

1.         Ahli mesyuarat mendapati tahkik yang dilaksanakan oleh pihak Dewan Bahasa Dan Pustaka berlawanan dengan semangat Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan iaitu Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan bahagian yang kedua seksyen 4(1) pengertian ahli Sunnah Wal Jama’ah maknanya ialah Mazhab Abu Hasan Al-Asy’ari dan Abu Mansur Al-Maturidi serta orang yang mengikut jejak langkah keduanya (sila lihat nota 16,17 dan 18 mukasurat 8 dan 9, nota 22 mukasurat 12 Buku Fatwa Negeri Kelantan di lampiran A).

2.         Ahli mesyuarat mendapati tahkik yang dilaksanakan oleh pihak Dewan Bahasa Dan Pustaka tidak mematuhi disiplin metodologi tahkik, ini kerana yang dimaksudkan dengan tahkik adalah memperjelas kandungan sesuatu penulisan sama ada  مخطوطات (manuskrip) ataupun kitab baik dari segi perkataan, simbol ejaan, status sesuatu rujukan, sumber petikan dan penghuraian ringkas bagi ayat-ayat yang kurang jelas. Tujuannya bagi memboleh dan memudah para pembaca memahami teks yang disemak oleh para penyemak.Tidak harus bagi para pentahkik menambah pendapat bagi teks-teks yang ditashih

sila lihat artikel :

حول مفهوم تحقيق الكتب والمخطوطات بقلم : عبد المنعم عجب الفيا

Ini mungkin bagi mengelak kecelaruan tanggapan pembaca terhadap teks asal yang ditulis lebih-lebih lagi teks fatwa yang diputuskan secara jama’i.

Metodologi tahkik yang tidak dipatuhi adalah seperti berikut:

2.1.      Tidak memperjelas status nas samaada hadis ataupun kata hukama’, sebagai contoh ( sila lihat halaman 3. Buku  Fatwa Negeri Kelantan di lampiran B).

2.2.      Terdapat lafaz-lafaz hadis tidak ditakhrijkan, contoh, ( sila lihat halaman 2. Buku  Fatwa Negeri Kelantan di lampiran C).

2.3.      Menjawab sendiri bagi soalan-soalan yang ditanya ( lihat nota 15-16, halaman 7-8, nota 38halaman 21. Buku  Fatwa Negeri Kelantan di lampiran D).

2.4.      Menambah kepada jawapan yang telah dijawab oleh Mufti/ Jemaah Ulama’, sedangkan tidak perlu. ( Lihat nota 22, halaman 12; nota 27, halaman 16; nota 34, halaman 19. Buku  Fatwa Negeri Kelantan di lampiran E).

2.5.      Secara tidak langsung memberi pandangan yang bertentangan dengan jawapan yang  telah dijawab oleh Mufti/ Jemaah Ulama’, contoh ( nota 45, halaman 30; nota 69, halaman 41; nota 112, halaman 56. Buku  Fatwa Negeri Kelantan di lampiran F).

2.6.      Dalil sokongan kepada fatwa Mufti/Jemaah Ulama’ kurang jelas, (Lihat nota 52, halaman 32. Buku  Fatwa Negeri Kelantan di lampiran G).

2.7.      Huraian  yang dibuat agak lebih umum daripada jawapan yang telah dijawab oleh Mufti/Jemaah Ulama’ (nota 84, halaman 46  Buku  Fatwa Negeri Kelantan) ia menambah polemik kepada pembaca.  (di lampiran H).

2.8.      Tidak diterangkan istilah feqah yang patut dijelaskan dan juga terdapat terjemahan yang kurang jelas, tidak tepat, dan tidak selaras ( lihat nota 128, halaman 64; nota 123, halaman 62; nota 211, halaman 93 dan nota 179, halaman 84. Buku  Fatwa Negeri Kelantan di lampiran I).

3.         Ahli mesyuarat bersetuju bahawa fatwa-fatwa yang telah diputuskan di dalam Buku-Buku Himpunan Fatwa edisi jawi terbitan Majlis Agama Islam merupakan ijtihad atau jawapan mengenai hukum syarak yang dibuat bersesuaian dengan zaman dan keadaan semasa setempat. Oleh itu sewajarnya fatwa-fatwa ini dihormati dan sebarang ulasan atau huraian yang memperkecilkan kewibawaan fatwa ini harus ditolak.

 

PENSIJILAN

PENSIJILAN
mpc2.jpg

Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

Paparan terbaik dengan resolusi 1280 x 800

Hakcipta © 2010 - 2021 Pejabat Mufti Negeri Kelantan
Paparan terbaik dengan IE 7.0, Google Chrome 10.0, Safari 4.0, Opera 10.0 atau Mozilla Firefox 3.0 dengan resolusi 1280 x 800
Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Kompleks Islam Darulnaim, Jalan Sultan Yahya Petra, 15200 Kota Bharu Kelantan. Tel : 09 7482023 Faks : 09 7478170 Email : jabmufti@kelantan.gov.my
Kemaskini Terakhir :

Search