A- A A+
INGIN MEMBERI MAKLUMBALAS KEPADA KAMI? KLIK DISINI

Kajian Semula Mengenai Fatwa Wasiat Wajibah

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

FATWA TAHUN 2008

 

KAJIAN SEMULA MENGENAI FATWA WASIAT WAJIBAH

 

Kategori : Sosial/Syariah (Wasiat)

 

 

Keputusan :

 

Mesyuarat  Jemaah  Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 3/2008 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Majlis Agama Islam Kelantan  pada  14  Disember  2008 telah membingcangkan Isu Kajian Semula Mengenai Fatwa Wasiat Wajibah dan telah bersetuju  seperti  berikut :

 

Mesyuarat bersetuju bahawa اولاد البنت   turut berhak menerima Wasiat Wajibah.

 

Mesyuarat juga bersetuju meminda sighah Wasiat Wajibah untuk diperundangkan di Negeri Kelantan seperti berikut :

 

Bahawa dalam kes di mana seorang anak yang bapa atau ibunya mati terlebih dahulu daripada datuk atau neneknya atau bapa dan ibunya mati secara serentak bersama datuk atau neneknya, anak tersebut iaitu cucu berhak untuk menerima Wasiat Wajibah dengan mengambil bahagian faraid bapa atau ibunya pada kadar tidak melebihi 1/3 daripada harta pusaka datuk atau neneknya. Sekiranya bahagian ibu atau bapa adalah 1/3 atau kurang daripada 1/3, maka pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar tersebut. Sekiranya bahagian tersebut melebihi 1/3 maka hendaklah dikurangkan pada kadar tidak melebihi 1/3.

 

ISU DAN MASALAH ;

 

Pada mesyuarat lepas telah bersetuju supaya Wasiat Wajibah diguna pakai untuk dijadikan undang-undang di negeri Kelantan. Manakala sighah yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Teknikal Pengkajian Enakmen Negeri Kelantan telah dipersetujui sebagai draf undang-undang Wasiat Wajibah. Namun begitu Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 22-24 Oktober 2008 turut membincangkan isu ini dan membuat keputusan bahawa Wasiat Wajibah harus diamalkan di Malaysia dan اولاد البنت   turut berhak mendapat Wasiat Wajibah ini. Perkara ini berbeza dengan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Jamaah Ulama’ yang lepas, di mana orang yang berhak mendapat Wasiat Wajibah terhad kepada  اولاد الابن  manakala اولاد البنت  tidak termasuk di dalam golongan yang berhak mendapat Wasiat Wajibah.

 

Oleh itu mesyuarat telah membincangkan perkara ini untuk mendapatkan keputusan samada bersetuju memasukkan  اولاد البنت  ke dalam senarai mereka yang berhak menerima Wasiat Wajibah atau kekal dengan keputusan mesyuarat yang lalu.

 

 

DALIL DAN HUJAH

 

1-       Ulama’ berselisih pendapat tentang hukum wasiat wajibah. Jumhur Fuqaha berpendapat bahawa perintah kewajipan berwasiat telah gugur dengan turunnya ayt pusaka. Oleh itu, wasiat merupakan satu amalan sunat yang amat digalakkan dalam Islam dan menjadi amalan para sahabat. Seseorang itu digalakkan untuk berwasiat ketika masih sihat dan tidak perlu menunggu saat ketika sakit atau sakit menghadapi kematian (marad al-maut)

 

2-       Jumhur fuqaha yang terdiri daripada mazhab Syafi’, Maliki, Hanafi, Imamiyah dan lain-lain berpendapat bahawa kewajipan berwasiat kepada pihak lain hanya berlaku dalam situasi di mana seseorang itu mempunyai tanggungjawab yang belum dilunaskan yang melibatkan hak Allah dan hak manusia yang dikhuatiri terlupa untuk diselesaikan selepas kematiannya. Dalam keadaan ini, wajib bagi seorang Muslim itu berwasiat agar hak-hak tersebut dilangsaikan dengan menggunakan harta peninggalan dan tanggungjawab itu wajib disempurnakan oleh waris atau pemegang amanah selepas kematiannya.

 

 

3-       Sebahagian ulamak khususnya Ibn Hazim al-Zahiri berpendapat bahawa wajib berwasiat kepada kaum kerabat yang tidak mendapat bahagian harta pusaka. Menurut Ibn Hazim, penurunan ayat pusaka yang menerangkan hak faraid bagi waris-waris tidak menasakhkan kewajipan berwasiat bahkan peruntukan ayat wasiat tersebut dikhususkan bagi ahli-ahli waris yang tidak mendapat pusaka disebabkan oleh halangan-halangan tertentu. Dengan kata lain, berwasiat kepada ahli keluarga terdekat yang tidak mendapat pusaka merupakan satu kewajipan yang perlu dilaksanakan. Dalam hal ini Ibn Hazim menegaskan bahawa kewajipan itu tidak akan gugur meskipun selepas kematian seorang Muslim dan menjadi kewajipan kepada waris atau pentadbir harta untuk menyempurnakan tanggungjawab tersebut menurut kadar yang berpatutan tanpa menimbulkan kesusahan kepada waris-waris yang ditinggalkan.

 

4-       Beberapa Negara Islam seperti Mesir, Syria, Maghribi, Kuwait, Tunisia dan Pakistan, konsep wasiat wajibah telah dikanunkan dalam peruntukan undang-undang negara berkenaan seperti Mesir iaitu undang-undang wasiat No.71 tahun 1946, undang-undang keluarga Islam Syria 1953, undang-undang wasiat Maghribi 1958, undang-undang keluarga Islam Pakistan 1961 dan undang-undang wasiat wajibah Kuwait 1971. Undang-undang di negara tersebut telah memberikan bahagian pusaka kepada waris di peringkat cucu yang terhalang daripada menerima pusaka kerana memberi keutamaan kepada waris yang lebih dekat kepada si mati. Situasi ini berlaku apabila bapa atau ibu mereka meninggal terlebih dahulu daripada datuk atau nenek atau bapa atau ibu dan datuk atau mereka meninggal dunia secara serentak. Dalam situasi di atas, waris-waris di peringkat cucu adalah terdinding daripada menerima pusaka disebabkan oleh kewujudan bapa saudara atau ibu saudara mereka.

5-       Dari segi sistem sosial, masyarakat Arab memang terkenal sebagai bangsa yang norma dan kehidupannya adalah berdasarkan kepada suku, puak atau kabilah tertentu. Sehingga ke hari ini, mereka masih mengekalkan tradisi iaitu datuk sebagai ketua keluarga (‘ailah) dan anak-anak serta cucu-cucu akan bekerja untuk datuk menguruskan perniagaan dan harta. Sekiranya berlaku kematian anak, maka datuk atau nenek yang menguasai harta akan memberikan harta kepada cucu bagi meringankan beban cucu akibat kematian bapa atau ibu mereka.

 

6-       Oleh itu kebanyakan Negara Islam di tanah Arab telah mengkanunkan peruntukan wasiat yang memang pada dasrnya bertujuan untuk membawa kebaikan dan keadilan kepada golongan yang memerlukan. Hikmah penggubalan peruntukan berkaitan wasiat wajibah juga adalah bagi memastikan waris di peringkat cucu yang kematian bapa atau ibu semasa hayat datuk dapat menjalani kehidupan sempurna terutama sekali kebajikan mereka dari aspek kewangan terjamin dan terpelihara.

 

 

7-       Di Malaysia, Selangor telah mendahului negeri-negeri yang lain dalam mengkodifikasikan peruntukan undang-undang yang khusus mengenai wasiat menerusi Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 manakala peruntukan khusus mengenai wasiat wajibah dinyatakan di dalam Seksyen 27 Enakmen berkenaan. Negeri Sembilan turut mempunyai undang-undang mengenai wasiat iaitu Enakmen Wasiat Orang Islam(Negeri Sembilan) 2004 dan peruntukan wasiat wajibah terkandung di dalam seksyen 27.

 

8-       Hukum asal bagi pelaksanaan wasiat adalah sunat dan umat Islam amat digalakkan untuk berwasiat berdasarkan kepada hadith Rasulullah SAW serta amalan para sahabat baginda. Walau bagaimanapun, sesuatu hukum boleh berubah daripada sunat menjadi wajib setelah diputuskan oleh pemerintah demi untuk menjaga kemaslahatan umum berdasarkan kepada kaedah fiqh:

 

 

                                               تصريف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

 

Maksudnya: tindakan(arahan) pemerintah terhadap rakyatnya adalah berdasarkan   kepada kepentingan umum.

 

PENSIJILAN

PENSIJILAN
mpc2.jpg

Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

Paparan terbaik dengan resolusi 1280 x 800

Hakcipta © 2010 - 2021 Pejabat Mufti Negeri Kelantan
Paparan terbaik dengan IE 7.0, Google Chrome 10.0, Safari 4.0, Opera 10.0 atau Mozilla Firefox 3.0 dengan resolusi 1280 x 800
Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Kompleks Islam Darulnaim, Jalan Sultan Yahya Petra, 15200 Kota Bharu Kelantan. Tel : 09 7482023 Faks : 09 7478170 Email : jabmufti@kelantan.gov.my
Kemaskini Terakhir :

Search