A- A A+
INGIN MEMBERI MAKLUMBALAS KEPADA KAMI? KLIK DISINI

Fatwa Mengenai Hukum Berkaitan Pembangunan Tanah Wakaf Di Bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9)

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

FATWA TAHUN 2008

 

FATWA MENGENAI HUKUM BERKAITAN PEMBANGUNAN TANAH WAKAF DI BAWAH RANCANGAN MALAYSIA KESEMBILAN (RMK9)

 

Kategori : Syariah

 

Keputusan :

 

Mesyuarat  Jemaah  Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 2/2008 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Majlis Agama Islam Kelantan  pada  30  April  2008 telah membincangkan Isu Fatwa Mengenai Hukum Berkaitan Pembangunan Tanah Wakaf  Di Bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (Rmk9) dan telah bersetuju  menfatwakan seperti  berikut :

 

Pihak Majlis Agama Islam Kelantan harus dan boleh menerima peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk membina hotel wakaf di Lot 2136 Mukim Kemumin, Panji dengan syarat status tanah wakaf ini kekal sebagaimana kehendak pewakaf.

 

 

HUJAH DAN DALIL

 

1.         Jamaah ulamak majlis telah memfatwakan pada mesyuarat bilangan 1/2004 bahawa tanah wakaf khas lot 2136 hendaklah diurus oleh Majlis Agama Islam sebagai nazir bagi mengekalkan status tanah tersebut dan memberi manfaat hasil tanah itu kepada waris-waris pewakaf. Dalam usaha membangunkan tanah ini sebagai hotel wakaf fatwa pada mesyuarat bilangan 1/2004 hendaklah dirujuk.

 

2.         Pembinaan hotel wakaf ini dilihat menguntungkan Majlis Agama Islam Kelantan, dengan pembinaan hotel ini imej Majlis Agama Kelantan selaku nazir tanah wakaf semakin baik kerana dapat membangunkan tanah wakaf dengan berjaya. Disamping itu pihak Majlis Agama Islam Kelantan tidak perlu mengeluarkan modal bagi tujuan ini manakala pewaris tengku kaya pahlawan akan mendapat hasil yang lebih baik di masa yang akan datang.

 

3.         Secara umumnya, terdapat 4 rukun asasi yang mesti dipatuhi dalam setiap urusan yang membabitkan harta wakaf iaitu pewakaf (الواقف), orang yang menerima wakaf (الموقوف عليه), barang yang diwakaf (الموقوف), dan sighah wakaf (الصيغة).

 

 

 

 

 

4.         Imam Nawawi ketika mengemukakan syarat-syarat terhadap pewakaf, telah melantik 2 syarat pewakaf iaitu:

 

 

i-                   Pewakaf mestilah seorang yang sah kata-katanya (bukan seorang yang gila atau kanak-kanak)

 

ii-                 Pewakaf seorang yang berkeahlian untuk bersedekah.

 

Syarat yang kedua menurut Imam Nawawi meliputi juga para pemerintah yang mewakafkan tanah daripada baitulmal untuk kegunaan umum umat Islam seperti mendirikan masjid, taman atau untuk kegunaan khusus seperti wakaf untuk ahli akademik dan agamawan. Segolongan ulamak Syafi’yah menfatwakan bahawa wakaf sedemikian adalah harus dan tidak boleh dipinda sewenang-wenangnya.

 

5.         Darul Ifta’ Al-Mesriah pernah ditanya tentang hukum nazir(pentadbir harta wakaf) yang menggunakan wangnya sendiri untuk membina kembali kedai-kedai yang telah roboh di dalam kawasan masjid, sedangkan kedai-kedai tersebut pada asalnya dibina daripada harta wakaf, adakah kedai tersebut pada masa ini dikira sebagai harta wakaf juga? Pihak Darul Ifta’ telah mengemukakan jawapan seperti berikut:

 

Ada disebut di dalam kitab (جامع الفصوليين), sekiranya seseorang itu membelanjakan hartanya sendiri untuk mengimarahkan harta wakaf dan ada saksi yang menyaksikan bahawa perbelanjaan itu bersifat sementara sahaja dan akan di ambil balik samada melalui hasil sewaan kedai tersebut atau lainnya , maka menjadi hak kepada orang yang mengimarahkannya untuk mengambil balik hartanya. Hukum yang lebih sama disebut di dalam kitab (البزارية المتولى). Sehubungan itu, nazir yang telah menggunakan wangnya sendiri untuk membina kembali kedai di kawasan masjid tanpa mengenakan apa-apa syarat dan tiada saksi yang menyokong tindakan tersebut, maka beliau atau warisnya tidak lagi berhak mengambil balik kedai tersebut. Sesungguhnya perbuatan beliau membelanjakan hasil kedai untuk manfaat masjid selama ini menunjukkan beliau tidak berhajat untuk mengambil balik hartanya yang telah dibelanjakan untuk membina kedai tersebut. Oleh itu harta tersebut dianggap sebagai harta yang berjalan diatas syarat-syarat wakaf.

                 

Tarikh Keputusan : 30 April 2008

 

 

 

 

 

 

PENSIJILAN

PENSIJILAN
mpc2.jpg

Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

Paparan terbaik dengan resolusi 1280 x 800

Hakcipta © 2010 - 2021 Pejabat Mufti Negeri Kelantan
Paparan terbaik dengan IE 7.0, Google Chrome 10.0, Safari 4.0, Opera 10.0 atau Mozilla Firefox 3.0 dengan resolusi 1280 x 800
Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Kompleks Islam Darulnaim, Jalan Sultan Yahya Petra, 15200 Kota Bharu Kelantan. Tel : 09 7482023 Faks : 09 7478170 Email : jabmufti@kelantan.gov.my
Kemaskini Terakhir :

Search