A- A A+
INGIN MEMBERI MAKLUMBALAS KEPADA KAMI? KLIK DISINI

Fatwa Draf Undang-Undang Wasiat Wajibah

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

FATWA TAHUN 2008

 

FATWA DRAF UNDANG-UNDANG WASIAT WAJIBAH

 

Kategori : Syariah

 

Keputusan :

 

Mesyuarat  Jemaah  Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 2/2008 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Majlis Agama Islam Kelantan  pada  30  April  2008 telah membincangkan Isu Fatwa Draf Undang-Undang Wasiat Wajibah  dan telah bersetuju  menfatwakan seperti  berikut :

 

Mesyuarat bersetuju memfatwakan bahawa Hukum Wasiat Wajibah yang dilaksanakan di Negara-Negara Arab melalui undang-undang hendaklah turut sama diterima pakai dalam Hukum Wasiat di Negeri Kelantan kerana ia mempunyai sandaran Syara’ yang baik oleh Ulama’ yang terdahulu dan semasa.

Mesyuarat juga bersetuju dengan sighah yang dikemukakan oleh pihak Jawatankuasa Teknikal Pengkajian Enakmen seperti berikut :

 

 

Wasiat Wajibah

 

Wasiat kepada cucu

 

 

1.            Jika seseorang mati tanpa membuat apa wasiat kepada cucunya daripada anak lelakinya yang telah mati terlebih dahulu daripadanya atau mati serentak dengannya, maka cucunya itu hendaklah berhak terhadap satu pertiga wasiat dan, sekiranya cucu ini diberi dengan kadar yang kurang dari satu pertiga, haknya hendaklah disempurnakan mengikut kadar Wasiat Wajibah yang diperuntukkan di bawah seksyen ini.

 

2.            Kadar Wasiat Wajibah untuk kanak-kanak yang disebut dalam sub seksyen (1) hendaklah setakat kadar di mana ayahnya berhak daripada harta pusaka datuknya sekiranya diandaikan ayahnya itu mati selepas kamatian datuknya dengan syarat wasiat itu tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka si mati.

 

3.            Kanak-kanak tersebut hendaklah tidak berhak kepada wasiat sekiranya dia telah mewarisi daripada datuk atau neneknya, mengikut mana berkenaan, atau datuk atau neneknya semasa hayatnya, dan tanpa menerima apa-apa balasan, telah membuat wasiat kepada mereka atau telah memberi kepada mereka harta yang bersamaan dengan apa yang mereka sepatutnya menerima menurut Wasiat Wajibah, dengan syarat sekiranya wasiat yang dibuat oleh datuk atau nenek itu kurang daripada bahagian yang sepatutnya dia berhak, hak-haknya hendaklah ditambah sewajarnya dan jika bahagian tersebut adalah melebihi bahagian yang dia berhak, bahagian yang lebih itu hendaklah menjadi wasiat sukarela dengan tertakhluk kepada persetujuan warisnya.

 

Fatwa ini dikeluarkan berdasarkan firman Allah s.w.t:

 

 

كتب عليكم إذا حضر أحدكم الموت إن ترك خيرا الوصية للولدين والأقربين بالمعروف حقا على المتقين. 

 

(Surah al-Baqarah :180)

 

Perkataan (كتب) dalam ayat diatas bermaksud wajib. Ibnu Hazim menjelaskan apabila berlaku kematian kepada(الموروث) pewaris tanpa mewasiyatkan kepada warisnya yang tidak mendapat pusaka, hakim atau qadi hendaklah mengambil tempat pewarisnya dengan memberi sebahagian daripada harta peninggalan simati melalui hukum wasiat wajibah. Pendapat itu diperundangkan di negara-negara Arab dengan persetujuan para ulamak mereka.

 

Tarikh Keputusan : 30 April 2008.

 

PENSIJILAN

PENSIJILAN
mpc2.jpg

Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

Paparan terbaik dengan resolusi 1280 x 800

Hakcipta © 2010 - 2021 Pejabat Mufti Negeri Kelantan
Paparan terbaik dengan IE 7.0, Google Chrome 10.0, Safari 4.0, Opera 10.0 atau Mozilla Firefox 3.0 dengan resolusi 1280 x 800
Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Kompleks Islam Darulnaim, Jalan Sultan Yahya Petra, 15200 Kota Bharu Kelantan. Tel : 09 7482023 Faks : 09 7478170 Email : jabmufti@kelantan.gov.my
Kemaskini Terakhir :

Search