A- A A+
INGIN MEMBERI MAKLUMBALAS KEPADA KAMI? KLIK DISINI

Fatwa Mengenai Garis Panduan Bedah Siasat Menurut Pandangan Islam

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

FATWA TAHUN 2006

 

FATWA MENGENAI GARIS PANDUAN BEDAH SIASAT MENURUT PANDANGAN ISLAM

 

Kategori : Sosial/Syariah

 

 

Isu Dan Masalah           :

 

Fatwa mengenai hukum bedah siasat mayat telah dikeluarkan pada tahun 1989. Fatwa tersebut menyatakan bahawa bedah siasat terhadap mayat orang Islam adalah diharuskan dalam keadaan dharurat. Bagi melaksanakan bedah siasat ini satu garis panduan perlu dikeluarkan kepada pihak yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya.

 

Keputusan     :

 

Mesyuarat  Jemaah  Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 2/2006 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Majlis Agama Islam Kelantan  pada  21 Disember  2006 telah membincangkan isu  Fatwa Mengenai Garis Panduan Bedah Siasat Menurut  Pandangan Islam  dan telah bersetuju menfatwakan  seperti  berikut :

 

Mesyuarat Jamaah Ulama’ telah bersetuju mengeluarkan garis panduan untuk melaksanakan bedah siasat terhadap mayat.

 

Huraian :

 

Garis panduan untuk melaksanakan bedah siasat terhadap mayat :

1. Menghormati, menjaga hak dan kemuliaan mayat sebagai manusia.
Semua Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang terlibat dalam proses bedah siasat hendaklah menghormati mayat seperti manusia yang masih hidup.Islam menyuruh orang yang masih hidup supaya menjaga kemuliaan, hak-hak dan kehormatan orang yang telah mati sepertimana orang hidup tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Islam melarang seseorang menganiayai seseorang yang lain sama ada pada diri, maruah dan harta mereka.

Firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Israa‘ ayat 70 yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

2.   Menyegerakan urusan bedah siasat mayat.


Urusan   bedah   siasat   mayat   hendaklah     dijalankan dengan segera supaya selaras mengikut kehendak syarak yang mewajibkan mayat diuruskan dengan segera, sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah       s.a.w.  bersabda    yang   bermaksud: “Segeralah   penyelesaian pengurusan    jenazah kerana kalau ia jenazah orang soleh maka bererti kamu menyegerakan  kepada   kebaikan    dan apabila sebaliknya (mayat yang tidak soleh) maka bererti kamu telah melepaskan kejahatan dari bahumu”.(Riwayat Muslim)

3. Kebenaran Waris


i. Bagi kes-kes bedah siasat klinikal, Pegawai  Perubatan    Kerajaan perlu mendapat kebenaran daripada waris untuk melakukan bedah siasat.


ii. Bagi   kes-kes   bedah   siasat   medicolegal,   kebenaran   dari   waris tidak diperlukan untuk melakukan bedah siasat.

4.  Memulakan Bedah Siasat mayat dengan membaca bismillah.

Pegawai dan petugas perubatan kerajaan yang beragama Islam hendaklah memulakan tugas menjalankan bedah siasat mayat dengan membaca Bismillah. Sabda Rasulullah SWT yang bermaksud Setiap urusan yang mempunyai tujuan yang tidak dimulai dengan dengan Bismillah dianggap terputus.( Riwayat Al-Sabki)

5. Mengucapkan Alhamdulillah selepas selesai  tugas bedah siasat mayat.

Pegawai dan petugas perubatan kerajaan  yang beragama Islam  hendaklah mengakhiri tugas bedah siasat mayat dengan mengucapkan Alhamdulillah, semoga tugas yang dilaksanakan mendapat keredhaan dan kerahmatan daripada Allah Taala.

6. Melakukan bedah siasat dengan cermat (tidak kasar).

 

Pembedahan hendaklah dilakukan dengan cara cermat supaya tidak merosakkan kehormatan dan kemuliaan mayat. Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
Dari Aisyah r.a. Raslululllah s.a.w. bersabda; “Memecahkan/
mematahkan tulang mayat sama seperti memecahkannya
/mematahkannya sewaktu hidupnya”. (Riwayat Abu Daud)

7.Menjalankan bedah siasat mayat dalam  suasana yang tenang

Sewajarnya pembedahan mayat dilakukan dalam suasana yang tenang dan tidak ada ganguan bunyi  bising bagi menghormati dan memuliakan mayat.

8.Menjaga had bedah siasat mayat berdasarkan dhururiyat ( keadaan mendesak) dan hajiayat ( keperluan).

Dharuriyat dan hajiyat menjadi sebab untuk mengharuskan tindakan bedah siasat keatas mayat . Islam menolak perkara yang boleh membawa kemudharatan sebaliknya mengharuskan perkara yang mendatangkan kebaikan . Setiap tindakan untuk menghindarkan kemudharatan adalah suatu suruhan dan galakan serta bersesuaian dendan matlamat Islam iaitu untuk menjaga dan memelihara maslahah  kehidupan.  

 9.Melakukan bedah siasat mayat setakat yang diperlukan sahaja.


Bedah   siasat   mayat   yang   dilakukan tidak boleh melampaui batas atau had rukhsah yang dibenarkan kerana mengambil kira hukum asal menyakiti mayat adalah   haram.   Oleh itu,  bedah   siasat   mayat   boleh   dilakukan   ke   atas mana-mana   anggota   mayat   yang   diyakini   boleh    membantu  mencapai matlamat   pembedahan   dan   mengenal  pasti   sebab-sebab   kematian.   Ini bersesuaian   dengan   kaedah   fiqhiyyah iaitu ‘perkara dharurat adalah dikira mengikut kadarnya’.

10.  Menjaga aurat mayat.


Orang   yang   melakukan   bedah  siasat mayat hendaklah tidak boleh dengan sengaja   melihat   aurat   mayat   kecuali   pada kadar yang diperlukan sahaja. Diriwayatkan   dari   Saidina   Ali k.m.j.,   Rasulullah     s.a.w. bersabda yang bermaksud:  “Janganlah  kamu nyatakan (perlihatkan) pahamu,dan janganlah kamu memandang kepada paha orang hidup dan orang mati”.
(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah) Mayat seboleh-bolehnya diuruskan oleh petugas   dari   jantina   yang   sama.  

Kaedah  ini merujuk kepada keputusan Persidangan   Majma‘ al-Fiqh   al-Islami   (Islamic Fiqh Academic) di Brunei Darussalam   pada 21-27 Jun 1993 mengenai wanita yang ingin mendapatkan rawatan perlu mengikut keutamaan berikut :

 

a. Doktor perempuan muslim pakar

b. Doktor perempuan bukan muslim pakar
c. Doktor lelaki muslim pakar
d. Doktor lelaki bukan muslim pakar

Islam   mengharuskan   rawatan   lelaki   terhadap  perempuan dan sebaliknya dengan syarat-syarat seperti berikut;

a. Tidak bersendirian
b. Menahan pandangan mata
c. Menyentuh di tempat yang berkaitan
d. Menyediakan doktor pakar mengikut jantina

 

 

11. Menjaga rahsia mayat


Pegawai   dan   Petugas  Perubatan Kerajaan yang terlibat dalam bedah siasat mayat   hendaklah menyimpan rahsia mayat, iaitu tidak mengaibkan dan tidak mendedahkan keadaan mayat kepada pihak yang tidak berkenaan.

 

12. Tidak menghina, mencemuh dan memaki mayat


Pegawai     dan Petugas Perubatan kerajaan yang terlibat dalam pengendalian mayat   tidak   boleh   menghina,  mencemuh   atau   memaki   mayat.   Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:


“Dari  Ibnu   Umar telah berkata: Sabda Rasululllah s.a.w.: Sebutlah kebaikan orang yang telah mati dan berhentilah dari menyebut keburukan mereka”. (Riwayat at-Tirmizi)

 

13.Menjaga kebersihan

Pegawai dan petugas perubatan kerajaan yang menjalankan bedah siasat mayat hendaklah menjaga kebersihan diri, pakaian, peralatan dan tempat serta mayat sebelum, semasa dan selepas bedah siasat mayat.

14. Mengambil langkah-langkah keselamatan


Pegawai   dan   Petugas   perubatan   kerajaan  yang menjalankan bedah siasat mayat  hendaklah  mengambil kira langkah-langkah keselamatan terutamanya dalam   pengendalian   mayat   yang   berisiko terutamanya bagi kes penyakit berjangkit.

 

15. Menguruskan mayat dan sampel kajian (organ atau tisu) selepas bedah siasat dengan sebaik-baiknya :

i. Anggota mayat yang dibedah hendaklah dijahit semula dengan kemas.

ii. Semua organ atau tisu yang diambil untuk kajian hendaklah dikembalikan kepada mayat sebelum mayat disempurna dan dikebumikan.

iii. Bagi kes yang memerlukan kajian dan penyelidikan ke atas sampel dari mana-mana anggota mayat yang memakan masa lama (disimpan bertahun-tahun dalam makmal) kerana kekurangan pakar, penyakit masih tidak dapat dikenalpasti, kekurangan alat dan sebagainya, maka jenazah hendaklah disempurna dan dikebumikan dahulu.

Manakala organ atau tisu yang diambil untuk kajian hendaklah ditanam atau diserah kepada waris atau pihak bertanggungjawab.

iv. Kajian  dan siasatan   ke atas    sampel  yang diambil hendaklah dijalankan dengan segera.


16. Tidak mengambil tisu atau organ mayat

 

Pegawai   dan   Petugas   Perubatan   Kerajaan  tidak dibenarkan mengambil  mana- mana   tisu   atau   organ daripada mayat yang dibedah siasat melainkan   dengan  kebenaran undang-undang. (Akta Tisu Manusia 174 - Akta 130).

 

17.Orang yang dibenarkan hadir semasa bedah siasat mayat
Hanya petugas bedah siasat mayat dan pihak berkuasa yang berkaitan sahaja      dibenarkan berada di dalam bilik bedah siasat semasa bedah siasat  dijalankan.

 

 

PENSIJILAN

PENSIJILAN
mpc2.jpg

Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

Paparan terbaik dengan resolusi 1280 x 800

Hakcipta © 2010 - 2021 Pejabat Mufti Negeri Kelantan
Paparan terbaik dengan IE 7.0, Google Chrome 10.0, Safari 4.0, Opera 10.0 atau Mozilla Firefox 3.0 dengan resolusi 1280 x 800
Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Kompleks Islam Darulnaim, Jalan Sultan Yahya Petra, 15200 Kota Bharu Kelantan. Tel : 09 7482023 Faks : 09 7478170 Email : jabmufti@kelantan.gov.my
Kemaskini Terakhir :

Search