A- A A+
INGIN MEMBERI MAKLUMBALAS KEPADA KAMI? KLIK DISINI

Pengesahan Hukum Berhubung Dengan Kedudukan Tanah-Tanah Wakaf Tengku Kaya Pahlawan

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

PENGESAHAN HUKUM BERHUBUNG DENGAN KEDUDUKAN TANAH-TANAH WAKAF TENGKU KAYA PAHLAWAN

 

Kategori   : Sosial /syariah

 

Keputusan:

 

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Bil. 2/96 yang bersidang pada 30 Jun 1996 telah membincangkan mengenai Hukum Berhubung Dengan Kedudukan Tanah-Tanah Wakaf Tengku Kaya Pahlawan (Kertas Bil. 3/2/96) dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

 

Setelah mengkaji kandungan surat cara wakaf tersebut yang dibuat oleh wakif, mesyuarat bersetuju memfatwakan sebagaimana berikut:

 

(1)       Bahawa Wakaf Tengku Kaya Pahlawan sebagaimana yang terkandung dalam surat cara wakaf itu adalah menepati dengan kehendak syarak serta sah hukumnya dengan berpegang kepada pendapat Kadi Al-Fariqi (قاضي الفارقي)dan Ibnu Yunus dan dimuktamadkan oleh Ibnu Ar-Rafi’ah (ابن الرفعة) dalam kitab I’anah Talibin juzu’ ke tiga halaman 164 berbunyi:

 

" ومن حيله صحة الوقف على نفسه أن يقف على أولاد أبيه ويذكر صفات نفسه

 فيصح كما قاله جمع متأخرون واعتمده ابن الرفعة وعمل به في حق نفسه فوقف على الافقه من بنى الرفعة وكان يتناوله "

 

Maksudnya:

 

Antara alasan sahnya wakaf untuk diri sendiri ialah dengan mewakafkan harta itu untuk anak bapanya dengan menyebut sifat-sifat dirinya sendiri.  Menurut segolongan ulama’ Muta’akhirin, wakaf sedemikian adalah sah dan ianya menjadi pegangan Ibnu Ar-Rafi’ah (ابن الرفعة )dengan mengamalkannya sendiri. Amalan wakaf itu juga pernah dilakukan ke atas mereka yang lebih arif dari kalangan Bani Ar-Rafi’ah dan mereka menerima wakaf tersebut.

 

(2)         Kesahihan terhadap wakaf itu tidak harus dipertikaikan lagi kerana ianya telah berlangsung sejak sekian lama iaitu lebih kurang 75 tahun dan adalah suatu tempoh yang agak lama dari segi uruf (عرف).

 

 

Huraian:

 

Satu kertas mengenai perkara di atas telah dibentang dalam mesyuarat bagi mendapat keputusan mengenai hukum. Kertas tersebut menerangkan tentang latar belakang wakaf Tengku Kaya Pahlawan termasuk tujuan-tujuan wakaf sebagaimana yang terkandung di dalam surat cara wakaf yang ditulis dalam tahun 1921 Masihi.

 

Mesyuarat dimaklumkan bahawa wakil kepada keluarga (waris) wakif yang bernama Tengku Hanafi Bin Tengku Muhammad, menerusi suratnya bertarikh 7 April 1996 telah memohon kepada Pengurusan Majlis supaya mengkaji semula kedudukan wakaf Tengku Kaya Pahlawan atas alasan bahawa dalam banyak hal wakaf yang dibuat oleh wakif dikatakan tidak sah pada syarak.

PENSIJILAN

PENSIJILAN
mpc2.jpg

Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

Paparan terbaik dengan resolusi 1280 x 800

Hakcipta © 2010 - 2021 Pejabat Mufti Negeri Kelantan
Paparan terbaik dengan IE 7.0, Google Chrome 10.0, Safari 4.0, Opera 10.0 atau Mozilla Firefox 3.0 dengan resolusi 1280 x 800
Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Kompleks Islam Darulnaim, Jalan Sultan Yahya Petra, 15200 Kota Bharu Kelantan. Tel : 09 7482023 Faks : 09 7478170 Email : jabmufti@kelantan.gov.my
Kemaskini Terakhir :

Search