INGIN MEMBERI MAKLUMBALAS KEPADA KAMI? KLIK DISINI

FATWA MENGENAI HUTANG SI MATI ATAS PINJAMAN WANG DARI PIHAK KERAJAAN ATAU MAJIKAN ATAU INSTITUSI KEWANGAN UNTUK MEMBINA ATAU MEMBELI RUMAH ATAU KENDERAAN

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

FATWA MENGENAI HUTANG SI MATI ATAS PINJAMAN WANG DARI PIHAK KERAJAAN ATAU MAJIKAN ATAU INSTITUSI KEWANGAN UNTUK MEMBINA ATAU MEMBELI RUMAH ATAU KENDERAAN

 

Kategori   :  Sosial/syariah

 

 

Keputusan:

 

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 17 April 1995 telah membincangkan mengenai Hutang Si Mati Atas Pinjaman Wang Dari Pihak Kerajaan Atau Majikan atau Institusi kewangan Untuk Membina Atau Membeli Rumah Atau Kenderaan dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

 

(1) Bahawa pinjaman wang yang dibuat bagi memenuhi keperluan asasi iaitu rumah kediaman sendiri dan kenderaan untuk kegunaan sendiri hukumnya harus kerana ianya termasuk dalam perkara dharuriat, dengan syarat ianya sederhana sahaja menurut taraf hidup si peminjam. Jika tidak maka hukumnya haram.

 

(2) Jika si peminjam mati sebelum sempat menghabiskan hutang pinjaman dan dia mengambil perlindungan insuran yang diwajibkan oleh pihak yang mengeluar pinjaman wang, maka dia tidak lagi menanggung hutang atas pinjamannya itu. Walau bagaimanapun, jika dalam keadaan di mana si peminjam diberi pilihan untuk mengambil polisi insuran yang diakui sah menurut hukum syarak, maka dia hendaklah mengambil insuran sedemikian itu bagi melindungi pinjamannya. Contohnya insuran Takaful atau lain-lain sama dengannya jika ada.

 

Huraian:

 

Pada masa sekarang berbagai kemudahan disediakan kepada orang ramai untuk kemudahan mereka membeli atau membina rumah atau membeli kenderaan. Antaranya ialah dengan cara menyediakan kemudahan pinjaman di mana peminjam dikehendaki membayar balik hutangnya itu secara ansuran dalam tempoh tertentu. Selain dari itu peminjam dikenakan faedah tertentu atas jumlah pinjaman yang dibuat.

 

Untuk mengelakkan risiko kerugian kepada pihak yang mengeluarkan pinjaman wang, mereka menetapkan syarat bahawa peminjam diwajibkan mengambil polisi insuran menurut kadar yang ditentukan di mana pihak insuran akan menjamin serta menjelaskan semua hutang peminjam sekiranya berlaku kejadian berikut:

 

(1) Kematian peminjam sebelum selesai menjelaskan hutangnya atas pinjaman membeli rumah.

 

(2) Kemalangan yang memusnahkan barang atau harta yang dibeli, seperti kebakaran rumah atau kenderaan.

 

(3) Kecurian atas kenderaan yang dibeli.

 

Dengan jaminan dan perlindungan itu, maka harta tersebut dikira bebas dari tanggungan hutang dan ianya boleh dimiliki oleh waris si mati  atau orang yang berhak ke atas harta tersebut tanpa mengeluarkan apa-apa bayaran lagi. Dengan kata lain, hutang dengan pihak yang memberi pinjam dikira selesai dengan sebab berlaku perkara tersebut di atas sekalipun peminjam belum sempat membayar balik pinjamannya walaupun sekali. Sistem ini diamalkan dengan meluas di zaman ini dan menjadi sebahagian dari muamalat yang penting di kalangan masyarakat umum.

 

Semasa membincang masalah tersebut, mesyuarat ditarik perhatian kepada Fatwa Jemaah Ulama’ Majlis sebagaimana yang dimuat dalam buku Himpunan Fatwa jilid pertama keluaran Majlis Agama Islam Kelantan tahun 1987 halaman 163. Fatwa tersebut berbunyi:

 

(Orang mati yang menanggung hutang apabila dipersetujui oleh pemberi hutang untuk melepaskan hutangnya samada melalui perjanjian yang dibuat semasa berhutang atau dimaafkan selepas si pemiutang itu mati, maka ia tidak lagi termasuk di dalam hadis tersebut).

PENSIJILAN

PENSIJILAN
mpc2.jpg

Jabatan Mufti Negeri Kelantan tidak bertanggung jawab atas segala kerugian/kerosakan yang disebabkan oleh data yang diperolehi dari laman portal ini.

Paparan terbaik dengan resolusi 1280 x 800

© Copyright {2019} Jabatan Mufti Negeri kelantan. Hak Cipta Terpelihara.

Search